Tutup

'Stand Up Comedy Otai' hiburkan malam minggu anda, angkat martabat artis veteran

'Stand Up Comedy Otai' hiburkan malam minggu anda, angkat martabat artis veteran
Antara barisan selebriti dan artis terkenal tanah air yang bakal mewarnai malam minggu anda. Gambar - Astro Gempak
KUALA LUMPUR: Sudah bersedia untuk mengisi malam minggu dengan lawak yang pasti membuatkan anda tidak kering gusi?

Jika ya, Astro kembali dengan program sulung 'Stand Up Comedy Otai' - sebuah program yang mengangkat semula kegemilangan artis veteran tanah air.
Menurut Ketua Saluran Astro Warna, Prima dan Intrend, Norzeha Mohd Salleh, program komedi 10 episod itu merupakan  inisiatif untuk menyahut seruan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi menggalakkan penglibatan penggiat seni veteran.

Ia juga bagi memastikan kumpulan berkenaan kekal aktif dan relevan dalam industri, selain memberi peluang kepada kelompok anak seni berkenaan untuk mengukuhkan taraf kehidupan mereka.
“Kita menyahut saranan FINAS untuk memberi platform pekerjaan kepada selebriti-selebriti otai atau senior. Jadi, ia tidak secara percuma, dan sudah tentu ada gaji.

“Jadi, saya rasa kita membayar gaji yang berpatutan dan harap apa yang kita tawarkan kepada mereka bersesuaian,” katanya pada sidang media, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, Astro sentiasa bekerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dalam membantu karyawan yang memerlukan.

Ia termasuk sumbangan wang tunai kepada artis veteran menerusi program utama seperti All Stars Buka Panggung dan Gegar Vaganza 2019.

Selain itu, Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac yakin selebriti veteran masih berbisa dan mampu menghiburkan pelbagai lapisan masyarakat.

“Bagi kita adalah untuk memberi platform kepada veteran bagi menunjukkan kebolehan mereka, dan idea mereka kerana sebab idea yang dipersembahkan sesuai untuk semua peringkat umur.

“Malah, semua platform dalam industry mesti mempunyai ruang untuk kumpulan veteran bekerja,” katanya.

Program berkonsepkan persembahan komedi stand-up secara solo ini tampil dengan tema yang berbeza sepanjang 10 episod.

Menariknya, barisan selebriti akan diberi peluang untuk berkongsi pengalaman dan kisah sepanjang kerjaya mereka.

Antara pelakon  dan pelawak yang bakal menjayakan program tersebut seperti AR Badul, Salih Yaacob, Fauziah Nawi dan Angelina Tan.

Program itu dihoskan penyanyi, pelakon, dan pelawak terkenal tanah air, Joey Daud dan bakal menemui penonton mulai 5 Disember ini, pada pukul 9.30 malam.

Ia boleh ditonton di saluran 131 (Astro Warna); saluran 124 (Warna HD); dan menerusi platform Astro Go dan On Demand.




Tag: Astro, FINAS, Stand Up Comedy Otai, artis veteran tanah air, Norzeha Mohd Salleh, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, Persatuan Seniman Malaysia, SENIMAN



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.