FILEM paling dinanti-nantikan tahun ini, 'Star Wars: The Force Awakens', berjaya mencecah kutipan lebih AS$1 bilion (RM4.3 bilion) hanya dalam masa 12 hari ditayangkan.

Ia sekali gus menjadikannya filem terpantas melepasi jumlah itu dalam sejarah perfileman.

Di Amerika Syarikat sahaja, filem arahan J.J Abrams itu berjaya mengutip AS$544.5 juta (RM2.3 bilion).

Setakat ini, ia filem kelima mencatat kutipan tertinggi di Amerika Syarikat, namun kedudukan itu dijangka berubah kerana tarikh tayangan yang masih panjang.



Filem ketujuh dalam saga Star Wars itu, buat masa ini, masih belum ditayangkan di China. Ia dijangka menemui penonton negara itu pada 9 Januari depan dan kutipannya dijangka terus meningkat memandangkan China merupakan negara kedua dalam senarai pasaran filem terbesar dunia.

Sebelum ini, rekod terpantas kutipan filem yang mencecah angka AS$1 bilion ialah 'Jurassic World' yang mencapai angka tersebut selepas 13 hari ditayangkan.