Status popular ada kebaikannya - Syed Saddiq

Status popular ada kebaikannya - Syed Saddiq
Syed Saddiq menjadi tetamu program 'Meletop' yang disiarkan secara langsung di Astro Ria, pada Selasa. - Astro AWANI/Madiha Abdullah
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman, tidak mahu terlalu memikirkan gosip yang bertebaran tentang dirinya yang disebarkan di laman sosial.

Katanya, status selebriti yang diberikan segelintir anggota masyarakat tidak pernah difikirkan, sebaliknya apa yang penting kini adalah khidmat yang mahu diberikan.

“Saya tidak melihat diri saya sebagai selebriti. Tapi dalam masa yang sama, saya juga tak mahu orang lihat saya sebagai ahli politik yang terlalu serius sampai tak boleh didekati.
“Sebenarnya perhatian yang diberikan orang ramai itu satu yang bagus juga kerana saya boleh gunakannya untuk ke arah positif,” katanya.

Beliau ditemui selepas menjadi tetamu program Meletop yang disiarkan secara langsung di Astro Ria, pada Selasa.

Kata Syed Saddiq, beliau enggan status sebagai 'Yang Berhormat' membataskan pergaulan dengan masyarakat kerana percaya setiap anggota masyarakat mempunyai peranan dalam membangunkan negara.

“Saya rakyat Malaysia, macam orang lain. Dan saya yakin setiap daripada kita ada tempat dalam membangunkan negara.

“Jika populariti saya itu boleh menarik masyarakat untuk menyumbang sesuatu kepada negara, itu sudah bagus,” ujarnya.