BIARPUN tidak pernah melarikan diri daripada pihak media kala berdepan kontroversi dan kemelut yang sedang melanda rumah tangganya, penyanyi terkenal Ziana Zain memilih untuk tidak menjelaskan secara terperinci tentang apa berlaku dalam kehidupan peribadinya itu.

Sentiasa memberikan kerjasama terbaik dengan pihak media, penyanyi Kemelut Di Muara Kasih ini memohon agar semua pihak termasuk peminat memberi ruang kepadanya untuk menyelesaikan kemelut tersebut secara personal.

Menurut Ziana, tindakan itu dilakukan kerana tidak mahu mengaibkan keluarga kedua belah pihak termasuk saudara mara terdekat.

“Biarlah kami sahaja yang tahu. Cuma saya akui, sudah lama memendam rasa dan Alhamdulillah, saya serta anak-anak kini boleh menghela nafas lega sekali gus berpeluang menikmati rasa bahagia.


“Ahli keluarga dia (suami) adalah keluarga saya juga. Jadi tidak baik untuk saya buka pekung sendiri,” kata Ziana jujur.

Dalam pada itu, Ziana menjelaskan tidak berlaku kewujudan orang ketiga dalam hubungannya dengan suaminya, Armin Zaharin Ahmad. Malah kata Ziana, penceraiannya adalah ketentuan Ilahi.

"Firman ALLAH dalam al-Quran, kun fa ya kun, maka jadilah. Siapa saya sebagai hamba-Nya untuk mengelak setiap takdir yang telah ditentukan ke atas saya. Dia Maha Kuasa. Saya terima semua ini sebagai satu ujian. Mungkin ada hikmahnya,” katanya kepada sebuah akhbar.

Bagimanapun Ziana memberitahu, selepas bebas daripada tahanan polis, suaminya sehingga kini masih belum menghubunginya atau anak-anak.

Ditanya bagaimana dia begitu kuat berdepan dugaan, malah mampu meneruskan rutin kerjaya seni sekali gus berdepan dengan orang ramai, kata Ziana, hidup perlu diteruskan.

“Hidup mesti diteruskan. Kalau kita nak bawa rasa sedih tu, sampai bila pun takkan hilang. Belum habis itu, yang lain pula datang.

“Jadi lalui sahaja apa yang ada di depan kita dan hargai apa yang boleh menggembirakan kita.

“Saya juga bertuah kerana mempunyai peminat yang sering meyokong dan mendoakan yang baik-baik buat saya dan keluarga. Hanya ALLAH sahaja yang mampu membalasnya,” luah Ziana.