Suami kepada penyanyi terkenal Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri yang didakwa mencederakan anak lelakinya pada bulan lepas, berdepan hukuman lebih berat selepas pihak pendakwaan meminda pertuduhan ke atasnya hari ini.

Ketika prosiding di Mahkamah Majistret di sini, Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharih Afendi memaklumkan kepada Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin, bahawa pihaknya ingin membuat pindaan membabitkan seksyen dalam pertuduhan itu.

Pindaan tersebut adalah daripada Seksyen 324 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 324 dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Seksyen 324 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu manakala Seksyen 326A pula memperuntukkan hukuman dua kali ganda tempoh maksimum atas sabitan kesalahan mengikut Seksyen 324.

Jurubahasa mahkamah kemudian membacakan pertuduhan pindaan itu terhadap Armin Zaharin iaitu dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam ke atas anaknya menggunakan rotan di sebuah rumah di Denai Alam di sini, kira-kira 8 hingga 11.30 malam pada 24 Feb lepas.

Bekas pramugara kanan sebuah syarikat penerbangan yang berusia 53 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Armin Zaharin, yang memakai kemeja-T kelabu dan seluar jeans biru, bagaimanapun tetap mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya seperti pertama kali dia dihadapkan ke mahkamah sama pada Selasa lepas.

Lelaki itu ditangkap pada 2 Mac lalu, selepas Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zin membuat laporan polis pada 27 Feb lepas.

Berhubung soal ikat jamin, Megat Mahathir Megat Tharih Afendi mengekalkan jumlah RM10,000 seperti yang dicadangkannya pada prosiding sebelum ini.

Peguam Muhammad Zufar Elias yang mewakili Armin Zaharin berkata jumlah ikat jamin RM5,000 yang ditetapkan mahkamah sebelum ini memadai memandangkan anak guamnya bekerja sendiri dan hanya memperoleh pendapatan berdasarkan komisen yang diterima.

"Anak guam saya juga mempunyai seorang ibu yang sudah tua dan tidak sihat, selain ini merupakan kesalahan pertamanya," katanya.

Raja Noor Adilla kemudian mengekalkan jumlah jaminan RM5,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 6 April depan untuk serahan dokumen.

Ziana, yang popular dengan lagu Madah Berhelah, mendirikan rumah tangga dengan Armin Zaharin pada 9 Mei 1998 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

-- BERNAMA