PELAKON yang juga pengacara dan penyampai radio, Zulin Aziz mendedahkan majlis perkahwinan yang telah dirancang tidak akan menjadi kenyataan, selepas hubungannya dengan kekasih sudah berakhir.

Menurut Zulin atau nama sebenarnya Farah Azleenda Abd Aziz, 28 tahun, dia tidak dapat berkongsi sebab perpisahan itu kerana terlalu peribadi.

"Saya pernah berkongsi tentang perancangan saya untuk berumahtangga bersama dengan jejaka yang saya kenali sejak tahun lalu.

"Ya, saya sudah bersedia. Itulah doa dalam tahajud saya : 'Ya ALLAH, temukanlah aku dengan lelaki yang dapat membimbingku kejalanMu'.

"Akhirnya, saya diketemukan dengan dia. Dia menerima saya apa adanya. Saya sangat bahagia, bersungguh-sungguh kuruskan badan sebab nak nampak cantik dihari perkahwinan nanti.

"Kita hanya merancang tapi ALLAH SWT sebaik-baik perancang.

"Hubungan kami gagal, jodoh tak panjang. Sebabnya ..tidak dapat saya kongsi. Terlalu peribadi. Hati saya hancur hanya ALLAH saja yang tahu," jelasnya dalam satu posting di Instagram.

Zulin turut menegaskan apa yang berlaku bukanlah gimik dan ucapan tahniah yang diterima sebenarnya membuatkan hatinya hancur.

"Untuk apalah saya nk buat gimik? Nak cari publisiti murahan bukan ini caranya," ujarnya.

Lebih memilukan, Zulin berkata, dia terpaksa menukar lirik lagu yang telah dibuat sebelum ini untuk bakal suaminya kepada lagu yang lebih sesuai dengan situasinya kini.

"Kerana menghargai kehadirannya dan kesungguhannya menyunting saya untuk dijadikan isteri, saya ciptakan lagu khas buatnya. Saya nak buat kejutan dihari bersejarah itu nanti.

"Jadi lagu yang saya dah cipta penat-penat itu untuk apa? Saya cuba kuatkan semangat dan mengambil hikmah di sebalik kejadian.

"Saya terpaksa tukar lirik lagu itu sesuai dengan keadaan sekarang dan teruskan hasrat saya walau tujuannya berbeza kalau sebelum ini nak dijadikan lagu tema perkahwinan kami tapi sekarang dah jadi lain.

"Benda pun dah siap, bersusah payah saya buat, saya keluarkan duit sendiri, takkan saya nak simpan saja," katanya.

Dalam pada itu, Zulin turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mendoakan dan memberi kata-kata semangat kepadanya.

"Bukan mudah, saya perlukan masa nak hadap semua ini. Tapi bila saya baca komen anda semua, saya sangat bersyukur sebab ramai yang sayangkan saya.

"Semoga urusan ini dipermudahkan. Saya cuba menjadikan kegagalan ini sebagai kejayaan disudut yang lain.

Manalah tahu harini saya meredah hujan, esok saya nikmati pelangi," akhirnya dengan ucapan maaf.

Zulin sebelum ini pernah berkongsi persiapannya untuk mendirikan rumah tangga bersama jejaka yang dikhabarkan berasal dari seberang.