PESERTA program realiti Dansa Dan Sing, Sophia Liana meluahkan rasa terkilan apabila hasratnya untuk membuat persembahan bersama komposer dan penerbit muzik, arwah Lok U pada Ahad ini tidak kesampaian.

Sophia yang juga merupakan ahli kumpulan De Fam berkata, jika mengikut perancangan, dia akan menyanyikan sebuah lagu sambil diiringi Lok U selaku pemuzik pada minggu ini.

"Tak sempat kita nak kerja bersama untuk Ahad ini. Terima kasih abang Lok U sudi terima idea membuat persembahan dengan Sophia, tapi Allah lebih sayang abang.

"Saya akan menyampaikan lagu Kau Yang Punya pada hari Ahad ini dan dedikasikannya kepada abang," tulisnya.

Perkara itu diluahkan Sophia menerusi satu status yang dikongsikan menerusi Instagram Story miliknya semalam.



Katanya, dia terkejut sejurus mendapat tahu berita mengenai pemergian Lok U pagi semalam.

"Bangun hari ini (semalam) dengan perkhabaran berita yang amat sedih. Saya terkedu ketika ini. Semoga Allah tempatkan abang @faizaluzir dalam kalangan orang beriman," tulisnya.

Semalam komposer terkemuka, Faizal Uzir atau lebih dikenali sebagai Lok U menghembuskan nafas terakhirnya di kediamannya kira-kira pada pukul 11 pagi.

BACA: Pemuzik ternama Lok-U meninggal dunia



Arwah dikatakan mengalami mengalami sesak nafas selepas pulang daripada melakukan aktiviti berjogging di kawasan rumahnya yang terletak di Puncak Jalil, Seri Kembangan, Selangor.

Dansa Dan Sing disiarkan secara langsung selama lapan minggu dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap Ahad, jam 9.00 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).