'Tarik mama abah masuk syurga nanti ye sayang' - Abby Abadi

'Tarik mama abah masuk syurga nanti ye sayang' - Abby Abadi
Muhammad Danial Firman menghembuskan nafas terakhir malam tadi dan berita duka itu dimaklumkan sendiri Abby menerusi akaun instagramnya sekitar jam 2 pagi.
ANAK penyanyi dan pelakon Abby Abadi meninggal dunia malam tadi selepas 70 hari dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), Hospital Sungai Buloh.

Muhammad Danial Firman menghembuskan nafas terakhir malam tadi dan berita duka itu dimaklumkan sendiri Abby menerusi akaun Instagramnya sekitar jam 2 pagi tadi.

Abby, 42, dan suami Muhammad Faizal Zakaria, 45, bagaimanapun tiada di sisi anaknya kerana berada di Mekah menunaikan umrah bersama keluarga sejak dua hari hari lalu.

Dalam perkongsiannya, Abby memaklumkan bahawa jenazah anaknya akan dikebumikan Tanah Perkuburan Islam AU4, Lembah Keramat dengan bantuan saudaranya.







Muhammad Danial Firman dilahirkan pada 27 September lalu dengan berat 535 gram.

Allahyarham dilahirkan secara pembedahan ketika kandungan Abby mencecah lima bulan selepas mengalami turun darah berikutan tekanan darah tinggi.

Abby dan Faizal yang mendirikan rumah tangga pada 14 Ogos 2015, turut mempunyai dua anak angkat iaitu Muhammad Daiyan Fayyan dan Maisara Dayana Fathia yang berusia setahun lebih.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Abby dianugerahkan tiga anak iaitu Mohamed Danish Hakim 16, Marissa Dania Hakim, 14, dan Maria Danisah Hakim, 11.