Filem Lelaki Harapan Dunia akan dinilai semula Lembaga Penapisan Filem (LPF) ekoran kontroversi yang mengaitkan filem arahan Liew Seng Tat itu dengan sentimen bangsa Melayu dan agama Islam.

Dalam status terbaru pengarah itu di laman sosial Facebook, Seng Tat menulis filem itu berdepan dengan tindakan ditarik balik daripada tayangan di pawagam.

“Sekiranya filem itu diharamkan ia sesuatu yang tidak masuk akal dan keterlaluan. Saya berharap akal yang waras akan diguna pakai dalam penilaian,” tulis Seng Tat.

Keluhan Liew Seng Tat

Penerbit filem tersebut Sharon Gan berkata, pihak Lembaga Penapisan Filem memohon kepadanya agar filem itu dinilai semula.

“Saya menerima panggilan daripada wakil Lembaga Penapisan Filem pagi tadi. Wakil berkenaan menjelaskan yang filem itu mahu dinilai semula oleh pihak pengurusan tinggi badan tersebut berdasarkan berita-berita yang telah disiarkan menerusi media.

“Ia sesuatu yang mengejutkan kerana filem ini telah pun diluluskan oleh mereka sendiri dan diberikan klasifikasi P13. Saya yakin dengan penilaian awal yang telah dilakukan oleh mereka. Namun, wakil tersebut tidak menjelaskan secara terperinci apakah yang akan dinilai semula.” tambahnya lagi.

Setakat ini, pihak penerbit masih belum menghantar salinan filem tersebut kepada LPF dan waktu tayangan masih belum diberikan.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Penapisan Filem Datuk Abdul Halim Abdul Hamid sewaktu dihubungi Astro AWANI tidak membayangkan yang filem tersebut akan dinilai semula.

“Buat masa ini, filem Lelaki Harapan Dunia tidak akan dinilai semula. Tiada cadangan mahu pun permohonan yang diterima berkenaan filem tersebut. Setakat ini tiada apa-apa maklumat yang diterima berkenaan filem tersebut.”

Tambahnya lagi, sesebuah filem tidak mungkin akan dinilai semula.

“Ia tidak akan berlaku. Yang membuat permohonan untuk menilai semula adalah Jawatankuasa Rayuan Filem dan mereka boleh membuat keputusan yang berbeza.”

Terdahulu, Seng Tat membuat kenyataan terbuka terhadap pembikin filem yang menggesa penonton memboikot filem tersebut.

“Seseorang pembikin filem yang mencintai dunia filem tempatan tidak sewajarnya menggesa penonton memboikot atau tidak menggalakkan mana-mana penonton untuk pergi ke pawagam menyaksikan filem yang mereka tidak gemari. Itu bukannya sayang, tetapi ia adalah kebencian.” Seng Tat berkata.

Filem Lelaki Harapan Dunia (GALERI FOTO) mula ditayangkan kepada umum sejak 27 November lalu.

Lelaki Harapan Dunia berlatar sebuah kampung yang terjadi kekacauan akibat salah faham di antara penduduk kampung yang menyangka rumah terbiar yang dalam perancangan dipindahkan dari hutan ke kampung untuk Pak Awang (Wan Hanafi Su) telah dihuni “hantu”.

Pak Awang cuba menyakinkan penduduk kampung agar tidak mempercayai perkara tahyul, tetapi tiada siapa yang ingin mendengar. Benarkah "hantu" itu "Orang Minyak"?

Lelaki Harapan Dunia telah ditayangkan di festival filem antarabangsa antaranya di Locarno, Toronto, Nara, Vancouver, Busan, Kolkata, Taipei dan Singapura.

Filem itu dibintangi Wan Hanafi Su, Azhan Rani, Sofi Jikan, Harun Salim Bachik, Jalil Hamid dan Hishamuddin Rais.

Untuk rekod, Lembaga Penapisan Filem pernah mengharamkan filem Fantasi arahan Aziz M. Osman yang kemudiannya dibenarkan untuk tayangan dengan tajuk baru Fantasia hanya selepas dua tahun diperap.

Pada tahun lalu, filem The New Village telah digantung daripada ditayangkan kepada umum.

Selain itu, LPF pernah mengarahkan filem Perempuan, Isteri dan Jalang arahan U-Wei Hajisaari ditukar tajuk kepada Perempuan, Isteri dan … dan membuat penilaian semula tajuk filem Pontianak Harum Sundal Malam arahan Shuhaimi Baba.

LPF turut terpalit kontroversi klasifikasi tontonan yang tidak konsisten sejak beberapa tahun ini antaranya PG-13 untuk KL Gangster 2, 18 untuk Psiko Pencuri Hati dan ...Dalam Botol.