SETELAH setahun pementasan 'MUD The Musical', teater itu kini diberi nafas baharu dengan sentuhan Puan Sri Tiara Jacquelina sebagai pengarah.

Teater muzikal yang dilancarkan pada Julai 2014 sebelum ini diarahkan oleh Amsalam Doraisingam (versi asal) dan Pat Ibrahim (versi 2.0).

Tiara turut bertindak sebagai penerbit dan diketuai oleh Ghafir Akbar dan Chedd Yusoff.

GALERI FOTO: Di belakang pentas MUD "Our Story of Kuala Lumpur

"Saya ingin menjadi pengarah. Sebenarnya, selaku penerbit saya banyak memberikan arahan juga. Saya akan menonton teater ini dan mengambil nota dan berikan nota itu kepada pengarah saya. Jadi daripada saya asyik memberi nota sahaja, baik saya jadi pengarah sahaja," jelas Tiara dalam satu sidang media bagi memperkenalkan MUD, The Musical versi 3.0 di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur.

MUD KL
MUD, The Musical versi 3.0 tampil dengan dialog, koreografi dan muzik baharu. -Gambar: Enfiniti Vision Media

Jelas Tiara, tiada banyak perubahan dilakukan kerana menggunakan versi-versi sebelum ini sebagai asas utama.

"Namun perubahan yang sedikit ini mampu memberikan impak yang besar dan sekali gus memantapkan mutu persembahan.

"Saya ada tukarkan dialog, koreografi, cahaya lampu, LED dan juga tambahkan maklumat tentang Kuala Lumpur. Dengan perubahan ini, sedikit sebanyak tampil berbeza berbanding versi asal dan versi 2.0," tambahnya.

MUD KL
Para pelakon diberi tempoh dua hari untuk membuat latihan. -Gambar Enfiniti Vision Media

Tiara turut berkata bahawa perubahan perlu dilaksanakan dalam tempoh dua hari sahaja.

"Saya harus tabik kepada para pelakon. Saya berikan mereka dua hari sahaja untuk laksanakan perubahan ini.

"Bayangkan apa yang dilakukan dalam tempoh setahun ditukar dalam masa dua hari sahaja. Mereka harus biasakan diri dengan dialog baharu dan mungkin koreografi baharu. Mereka memang bagus," jelasnya.

MUD KL
Puan Sri Tiara Jacquelina anggap perubahan yang dilakukan dapat memberikan impak yang besar dalam mutu persembahan MUD, The Musical versi 3.0. -Gambar Enfiniti Vision Media

Sementara itu, Chedd memberitahu bahawa nafas baharu ini perlu agar para pelakon tidak bosan dengan persembahan mereka.

"Kalau para pelakon telah melakukan perkara yang sama dalam tempoh tiga hingga empat minggu, mereka akan penat dan bosan.

BACA: Enfiniti hidupkan Panggung Bandaraya dengan teater muzikal MUD

"Jadi dengan perubahan ini dapat memberikan sentuhan yang baharu bukan sahaja untuk pelakon tetapi untuk penonton juga," katanya.

MUD merupakan teater muzikal yang menceritakan mengenai kehidupan tiga sahabat Mamat, Meng dan Muthiah berlatarbelakangkan sekitar tahun 1881, iaitu tahun Kuala Lumpur diteroka.

MUD KL
MUD, The Musical dipentaskan di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur. -Gambar: Enfiniti Vision Media

MUD, The Musical yang dipentaskan di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur adalah hasil kerjasama Enfiniti Vision Media dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Ia merupakan satu produk pelancongan, atau tourism product, dan akan mengambil sehingga setahun sebelum ia betul-betul berjaya.

"Jadi saya mengalu-alukan agar agensi pelancongan memilih MUD, The Musical sebagai destinasi untuk pelancong dalam pakej mereka. Saya juga mahu orang tempatan untuk menonton dan belajar tentang Kuala Lumpur," kata Tiara mengakhiri sidang media.