Terbaik Dari Langit cerita wayang kita dan kembara mencari Tuhan

Terbaik Dari Langit cerita wayang kita dan kembara mencari Tuhan
Ini cerita sinema kita dan kembara mencari Tuhan
Nova yang menyinar di langit angkasa akhirnya pulang memijak rumput di bumi sebagai Terbaik Dari Langit.

Begitu jugalah yang dipaparkan pada babak awal Berg lakonan berkesan oleh Bront Palarae yang kembali dari halusinasinya dalam dunia sinema.

Itu antara tarikan pertama yang menarik penonton ke dalam dunia imaginasi pengarah Nik Amir Mustapha yang baru-baru ini memenangi gelaran Pengarah Terbaik dan Filem Terbaik dengan buah tangan pertamanya, KIL.

Ceritanya mengisahkan Berg (Bront Palarae) seorang pembikin filem yang berazam mahu merakam perjalanannya mencari UFO yang ditemuinya 15 tahun lalu sewaktu bersekolah asrama. Bersama sahabatnya, Ijam (Iedil Putra), Toyu (Amerul Affendi) dan Ali (Megat Sharizal) bersama pelakon baru Sofia Jane (Nadiya Nisaa'), mereka kembali menyusuri jalan-jalan kenangan mencari erti persahabatan yang utuh.

Memori lama terungkit kembali kerana ada dendam yang belum terpadam. Memori baru tercipta kerana ada rahsia yang belum dibongkar. Semuanya dijawab dalam pengembaraan tersebut.

Cerita bikin filem dalam Terbaik Dari Langit
Antara barisan pelakon filem Terbaik Dari Langit, Bront Palarae, Amerul Affendi dan Siti Saleha dalam wawancara Borak Filem

KLIK GALERI FOTO: Terbaik Dari Langit cerita wayang kita

Filem terbitan Playground Productions dan Astro Shaw itu dibarisi bintang ternama tanahair antaranya Bront Palarae, Iedil Putra, Amerul Affendi, Megat Sharizal, Nadiya Nisaa', Siti Saleha dan Sharifah Amani.

Terbaik Dari Langit merupakan satu cerita yang mendedah indah peri dan cacat cela dunia sinema tempatan. Pelbagai cerita di sebalik tabir diadun dengan kemas di balik cerita perjalanan lima sekawan.
Di sini letaknya kebijaksanaan pengarah dan penulis dalam melakar cerita dan menggarap pelbagai cerita dalam sesebuah filem.

Produksi filem tergendala angkara konflik 15 tahun yang belum berpenamat.
Produksi filem tergendala angkara konflik 15 tahun yang belum berpenamat

Menariknya, Terbaik Dari Langit meneroka lebih daripada cerita persahabatan dan dunia sinema, malah turut melihat elemen ketuhanan di lapisan yang lain.

Maka saya berpandangan walaupun filem ini pada awalnya menggunakan tajuk Bikin Filem, penukaran tajuk kepada Terbaik Dari Langit amat tepat dan kena dengan keseluruhan isi cerita yang disampaikan.

Walaupun berbunyi agak sombong, tetapi bukankah menjadi impian semua untuk menghasilkan yang terbaik?

Kritik sosial terhadap dunia sinema tempatan dilakar oleh Redza Minhat dengan santun tetapi menyengat. Ada banyak punchline yang melekat dan sesekali menampar untuk mengejutkan penonton khususnya karyawan filem sendiri.

Pemikiran pengkarya generasi baru dalam filem ini cuba menongkah arus generasi lama dengan gaya pengarahan dan teknik penceritaan yang di luar daripada kebiasaan namun teguh jati dirinya.

Namun tidak sesekali pembikin melupakan legasi yang telah ditinggalkan oleh karyawan generasi lama. Jelas sekali penampilan terakhir Allahyarham Aziz Satar sebagai datuk kepada Berg serta nasihatnya kepada cucunya itu seakan wasiat buat karyawan kini.

Berpegang pada paksi “I just want to be myself”, isi cerita dipersembahkan cukup mesra kepada penonton biasa. Namun bagi penonton yang membaca filem, mereka juga akan mendapat manfaat daripada filem ini.

Antara babak menarik dalam filem yang diarahkan oleh Berg.
Jika tiada di bumi, carilah yang di langit

Untuk penonton mencari hiburan, Berg mencari UFO. Untuk penonton mencari makna, dunia sinema tempatan mencari jati diri. Untuk pembaca filem, ia proses manusia mencari Tuhannya.

UFO itu ada walaupun tidak ramai yang akan nampak sama juga seperti Tuhan yang kekal ada tetapi tidak ramai yang dekat.

Di bawah arahan Nik Amir, karisma pelakon yang menjadi kekuatan nilai persahabatan lima sekawan dijelmakan dengan cukup meyakinkan.

Terbaik pastinya keserasian watak Toyu lakonan Amerul Affendi bersama Sofia Jane yang dilakonkan oleh Nadiya Nisaa dengan cukup cemerlang. Babak yang melibatkan dua pelakon ini antara pencuri adegan yang dapat menyentuh rasa.

Keserasian mereka akan menjadi pencuri adegan dalam filem Terbaik Dari Langit
Keserasian mereka akan menjadi pencuri adegan dalam filem Terbaik Dari Langit

Tidak terkecuali ialah penampilan bersahaja Iedil Putra sebagai Ijam dengan wajah sombongnya yang pasti membuka ruang baru untuk penonton mengenali bakat besar yang dimilikinya dalam bidang ini.

Di lapis dunia sinema tempatan, penampilan istimewa oleh karyawan seperti Allahyarham Aziz Satar, Mamat Khalid, Dain Said, Zahiril Adzim, Aidil Rusli, Nam Ron, Anne James, penerbit filem Tuan Faisal (Tapai) mahupun penulisnya, Redza Minhat terus memberi simbol dan makna tersendiri.

Aidil Rusli sebagai wartawan karpet merah contohnya tampil membawa soalan stereotype yang sering ditanya oleh wartawan hiburan tempatan.

Dialog yang dilafazkan oleh pemandu lori (Mamat Khalid), pengkritik atau mungkin pensyarah filem (Dain Said) dan dialog guru (Nam Ron) sangat berbisa.

Tangkapan visual oleh pengarah sinematografi, Jordan Chiam dan hasil latar bunyi oleh kumpulan Pitahati saling melengkapi dalam menambahkan rasa rempah kepada mood sebuah pengembaraan yang penuh dengan pelbagai konflik dan pencarian misteri.

Pengarah pemenang anugerah Pengarah Terbaik FFM, Nik Amir Mustapha tekun menyiapkan filemnya.
Pengarah pemenang anugerah Pengarah Terbaik FFM26, Nik Amir Mustapha tekun memerhatikan monitor untuk mendapatkan rakaman visual dan emosi yang tepat untuk filem Terbaik Dari Langit

Terbaik Dari Langit adalah antara filem yang boleh dibanggakan tahun ini disambut dalam kesuraman kutipan filem tempatan di pawagam. Oleh itu, janganlah dibunuh semangat generasi baru seperti mereka kerana semangat utuh Berg mahu membikin filem tidak pernah padam.

Filem Terbaik Dari Langit atau judul antarabangsanya, Nova yang pertama kali ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Tokyo bakal menjengah pawagam seluruh Malaysia mulai 25 Disember ini.

Tonton trailer rasmi filem Terbaik Dari Langit:


Trailer filem Terbaik Dari Langit


Borak Filem Terbaik Dari Langit oleh DailySeni