Penderitaan pemain drum Search, Yazid Ahmad atau lebih dikenali Yazid Search yang mengidap komplikasi buah pinggang mendapat pembelaan apabila Kementerian Pelancongan,Seni Dan Budaya (MOTAC) serta Persatuan Karyawan tampil menghulurkan sumbangan.

Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Dasar Kebudayaan Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya, Datin Salida Ibrahim berkata, menerusi Laporan Khas yang disiarkan oleh Astro AWANI tidak lama dahulu pihaknya telah menjejaki Yazid dan menghubungi beliau.

Jelasnya, berdasarkan keadaan Yazid ketika ini, pemuzik berkenaan layak mendapatkan bantuan daripada pihak kementerian.

“Terima kasih juga kepada Astro AWANI yang telah menyiarkan laporan tersebut. Ia membolehkan pihak kementerian mendapatkan sedikit sebanyak maklumat tentang beliau. Untuk Yazid, pihak kementerian telah memutuskan untuk menyalurkan bantuan sebanyak RM5,000 yang akan diberikan kepada beliau minggu depan.

"Ia mungkin sedikit sebanyak mampu meringankan beban Yazid," katanya ketika menghubungi Astro AWANI pada Ahad.

YAZID (berdiri, empat dari kanan) bersama penerima-penerima sumbangan daripada Karyawan pada majlis yang diadakan di Kuala Lumpur pada Ahad.



Karyawan juga menyalurkan bantuan sebanyak RM1,000 kepada Yazid dalam satu majlis yang diadakan di ibu negara semalam.

Sementara itu, Yazid ketika dihubungi menyatakan rasa syukurnya terhadap keperihatinan semua pihak yang terlibat dalam membantu meringankan bebannya.

“Abang ucap terima kasih banyaklah kepada semua ni, Astro AWANI, Motac dan juga Karyawan banyak tolong abang dan tak lupakan abang, Walaupun kos rawatan abang makin meningkat tapi abang syukur (deangan) sumbangan ini. Kalau diikutkan masih banyak kos yang abang perlu tanggung, semakin hari semakin meningkat," ujarnya.

Laporan Khas bertajuk “Dari pentas berprestij, mana Yazid Search kini” disiarkan oleh Astro AWANI pada 28 Oktober 2018 yang memaparkan kisah terkini pemain drum itu yang bertungkus lumus meneruskan kehidupannya dengan bermain busking di tepi jalanan.


BACA; Dari pentas berprestij, mana Yazid Search kini?

BACA:
Masihkah berbisa sentuhan dram Yazid Search?


Yazid yang satu ketika dahulunya lincah bersama kumpulan rock terkemuka tanah air itu kini tidak mampu lagi sehebat dahulu kerana penderitaan penyakit buah pinggangnya .

Malah tinjauan Astro AWANI pada waktu itu mendapati beliau bermain busking di hadapan pasaraya SOGO untuk mencari sedikit rezeki untuk menampung perbelanjaannya.