PELAKON utama filem Jumanji: Welcome to the Jungle, Dwayne 'The Rock' Johnson, telah memuat naik beberapa siri video ke akaun Instagramnya, untuk mengucapkan terima kasih di atas sambutan luar biasa penonton terhadap filem tersebut.

Antara negara yang menerima penghargaan daripada bekas ahli gusti WWE itu ialah Mexico, Indonesia, Perancis dan tidak ketinggalan, Malaysia.

Dalam video itu, The Rock mengakui cukup terharu apabila Jumanji yang baru memasuki minggu kedua tayangan di negara ini, telah berjaya disenaraikan sebagai filem ketiga terlaris di sini.



"Malaysia, anda punya tempat istimewa di hati saya, sejak saya memulakan kerjaya dalam arena gusti lagi. Antara kenangan manis yang saya kenang sehingga hari ini adalah bertarung dengan lawan di Kuala Lumpur.

"Saya sangat berterima kasih dan teruskan menikmati Jumanji," kata The Rock dalam video itu.

Biarpun berdepan saingan sengit daripada Star Wars: The Last Jedi, ia dilaporkan Jumanji, setakat 22 Disember, telah mencatat kutipan lebih RM19 juta sejak mula ditayangkan 14 Disember lalu.

Menurut Eksekutif Pemasaran Senior Sony Pictures Entertainment Malaysia, Tan Phui Mun, tidak mustahil untuk filem itu mengutip sehingga RM30 juta sekaligus menjadi filem terlaris sepanjang zaman.