'Terputus sudah di antara kita, berbeza sudah dua dunia' - Lagu nyanyian Abam buat 1 juta pendengar tersentuh

'Terputus sudah di antara kita, berbeza sudah dua dunia' - Lagu nyanyian Abam buat 1 juta pendengar tersentuh
jenazah Allahyarham disolatkan lebih 720 jemaah di Masjid Zakaria, Gombak semalam.
PEMERGIAN Abam atau Allahyarham Syed Umar Mukhtar Syed Mohd Ridzuan, 32, amat dirasai oleh semua.

Ternyata pelawak popular ini disenangi dan disayangi ramai. Buktinya jenazah Allahyarham disolatkan lebih 720 jemaah di Masjid Zakaria, Gombak semalam.

Malah kawasan Tanah Perkuburan Sungai Pusu, Gombak juga dibanjiri 2000 orang yang datang memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Sebaik sahaja berita mengenai Abam meninggal dunia disiarkan, media sosial dibanjiri ribuan ucapan takziah termasuk yang berkongsi tentang peribadi mulia dan kebaikan Allahyarham.

Allahyarham disifatkan sebagai seorang anak yang baik terhadap ibunya dan mementingkan kebajikan keluarga serta banyak pengorbanan dilakukan untuk memastikan kebahagian mereka.

Bersedekah, tidak berkira, baik hati dan sedaya upaya memenuhi permintaan sahabat yang memerlukan bantuan walaupun kecil antara sebab pemergian Allahyarham menjadi kesan kepada semua.

Yang terbaru, lagu nyanyian Abam berjudul Sikasih telah ditonton 1 juta kali di laman sosial YouTube selepas pemergiannya.


Lirik video yang dimuat naik pada 22 Februari 2019 itu menyentuh hati apabila di dalam bait liriknya tertulis sepotong ayat di bahagian korus yang boleh membuatkan air mata pendengarnya menitis.

 “Terputus sudah di antara kita, berbeza sudah dua dunia…" dikaitkan pendengar pada ruangan komen, tentang luahan Allahyarham seperti sudah tahu dirinya akan ‘pergi’.



Allahyarham Abam meninggal dunia di kediamannya di Gombak, kira-kira jam 7 pagi Isnin.

Pemergian Abam disedari isterinya ketika mahu mengejutkan suaminya untuk pergi bekerja.

Abam sempat solat subuh sebelum mengadu sakit kepala dan tidur semula.

Kematian Abam dimaklumkan Ali kepada Gempak pagi semalam selepas dia mendapati arwah tidak memberi sebarang tindak balas selepas dipanggil dan dikejut beberapa kali.

 


Tag: jenazah, meninggal dunia, Abam, media sosial, Syed Umar Mukhtar Syed Mohd Ridzuan, YouTube, laman sosial, Abam meninggal dunia, Bochey



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.