SELEPAS beberapa nama seperti Vivy Yusof dan Neelofa berjaya mengharumkan nama negara dalam senarai berprestij Forbes 30 Under 30 Asia, kini seorang lagi selebriti negara turut melakar nama dalam senarai tersebut.

Penyanyi Nurshahila Amir Amzah, atau lebih mesra dengan panggilan Shila Amzah, ketika dihubungi Astro AWANI menzahirkan rasa syukur dengan pencapaian tersebut dan menyifatkan ia satu anugerah buatnya selepas bertungkus-lumus mencipta nama dalam industri muzik.

“Saya bersyukur disenaraikan dalam Forbes 30 Under 30 Asia bagi kategori Hiburan dan Sukan kerana saya turut tersenarai dengan nama-nama hebat yang lain.


“Tersenarainya saya dalam Forbes 30 Under 30, saya berharap ia dapat memberi inspirasi buat anak-anak muda di luar sana untuk terus bekerja keras bagi mencapai apa yang diimpikan,” kata Shila.

Selain pencapaian tersenarai dalam Forbes 30 Under 30, Shila juga baru sahaja memenangi tempat kedua dalam Global China Music Chart pada Ahad.


Untuk tahun 2018 ini, beliau akan melancarkan tiga single terbaharu dan satu single bahasa Mandarin buat peminatnya di sini dan di China.

Terdahulu, Shila mula berjaya menempa nama dalam industri muzik antarabangsa apabila beliau memenangi Asian Wave, sebuah pertandingan nyanyian yang diadakan di Shanghai, China pada 2012.

Beliau juga merupakan satu-satunya penyanyi tanah air yang memenangi anugerah berprestij, Global Chinese Music Award pada 2015 dalam kategori Persembahan Wanita Terbaik.

Antara nama lain yang berjaya mengharumkan nama Malaysia ialah Pengasas Zahara, Amira Geneid dalam kategori Seni dan Pengasas FatHopes Energy; dan Vinesh Sinha dalam kategori Industri, Pengeluaran dan Tenaga.

Turut tersenarai adalah pengasas bersama PolicyStreet iaitu Wilson Beh dan Winnie Chua yang tersenarai bagi kategori Modal Teroka dan Kewangan, manakala pengasas The Picha Project iaitu Lee Swe Lin, Lim Yuet Kim, dan Ling Sook Shian tersenarai dalam Kategori Usahawan Sosial.

Selain itu, Ammar Roslizar dan Ammar Shahrin yang mengasas bersama agensi pelancongan, ARBA Travel & Tours Sdn Bhd tersenarai dalam Kategori Runcit dan E-Dagang.