CHRIS Hemsworth dan Tessa Thompson pernah bergandingan dalam Thor Ragnarok tahun lalu. Menerusi gandingan itu, filem komedi aksi Marvel berkenaan mendapat kutipan lebih AS$853.8 juta.

Mereka kini semakin hampir disatukan kembali menerusi filem terbaharu Men in Black terbitan Sony Pictures. Bukan sebagai Thor dan Valkyrie tetapi ejen melawan makhluk asing jahat berseragam hitam.

Hemsworth telah memulakan rundingan dengan pihak Sony Pictures sejak beberapa minggu lalu sementara Thompson baru di peringkat awal rundingan.

Mengikut perancangan, Hemsworth dan Thompson akan mengisi dua watak utama disamping seorang lagi pelakon yang belum diketahui.

Men in Black 4 ini bakal menerima sentuhan F. Gary Gray yang sebelum ini mengarahkan The Fate of the Furious. Skripnya pula digarap Matt Halloway dan Art Marcum.

Menurut Sony Pictures, Men in Black 4 bukan filem reboot tetapi kesinambungan filem terdahulu dengan menampilkan watak baharu seperti formula yang diguna pakai Jurassic Park.

Steven Spielberg berperanan sebagai penerbit eksekutif sementara tugas penerbit diserahkan kepada Walter F. Parkes dan Laurie MacDonald.

Men in Black 4 dijadual ditayangkan pada 14 Jun 2019.