SPIDER-MAN bukan lagi sebahagian daripada watak adi wira dalam Marvel Cinematic Universe (MCU) selepas syarikat penerbitan filem Sony Pictures dan Disney tidak dapat memuktamadkan perjanjian untuk meneruskan perkongsian mereka.

Spider-Man pada mulanya menjadi sebahagian daripada francais terbitan Sony Pictures sebelum Disney melancarkan dunia MCU.

Kedua-dua syarikat itu membentuk perjanjian untuk berkongsi watak itu supaya ia dapat bergabung dengan dunia sinematik Marvel.

Perkongsian tersebut menyaksikan penampilan sulung Tom Holland sebagai Spider-Man dalam Captain America: Civil War dan seterusnya muncul dalam lima filem MCU secara keseluruhan.

Difahamkan masalah timbul apabila Disney yang hanya menerima 5 peratus daripada keseluruhan kutipan untuk sekuel Spider-Man: Homecoming dan Spider-Man: Far From Home mahu peratusan yang lebih besar pada masa hadapan.

Sony Pictures bagaimanapun memilih untuk mengekalkan perjanjian 5 peratus perolehan itu menyebabkan kedua-dua syarikat itu gagal mencapai kata putus.

Ekoran isu ini, Presiden Marvel Studios, Kevin Feige berkemungkinan tidak lagi menjadi penerbit dalam mana-mana filem Spider-Man pada masa hadapan.

Malah, Tom Holland juga mungkin tidak akan muncul dalam mana-mana filem Marvel Cinematic Universe sebagai Spider-Man selepas ini.

Namun perjanjian kesepakatan itu masih boleh dicapai sekiranya peminat lantang menyuarakan isu ini agar kedua-dua syarikat dapat bertolak ansur dalam hal ini.