Selepas kejayaan filem Paskal The Movie, pengarah tersohor, Adrian Teh menaruh sebuah lagi filem bergenre aksi bertajuk Wira.

Besar harapannya agar filem ini diterima baik oleh penonton sebagaimana filem arahannya yang sebelum ini berjaya catat kutipan hampir RM30 juta selepas tayangannya tahun lepas.

Jelas Adrian, tiada angka kutipan yang disasarkan untuk filem yang sarat dengan aksi ini, tetapi pastinya mengharapkan kutipan yang lebih baik.

“Saya mengharapkan penonton menghargai filem Wira kerana ini adalah impian saya untuk menerbitkan filem aksi.

“Walaupun tiada jangkaan kutipan yang diletakkan, begitu juga dengan filem Paskal terdahulu tetapi saya sangat menghargai jika penonton suka dengan filem ini,” katanya ketika ditemui selepas sidang media tayangan filem berkenaan di ibu negara pada Selasa.

Wira berkisarkan mengenai kisah seorang bekas tentera yang dahulunya melarikan diri akibat tidak tahan dikawal tetapi kembali ke pangkuan keluarga untuk membela nasib mereka.

Filem yang menaruhkan aksi mempertahankan diri ini dibintangi oleh Hairul Azreen, Fify Azmi, Datuk Hilal Azman, Henley Hii dan Josiah Hogan.

Istimewanya filem ini menampilkan pelakon Indonesia Yayan Ruhian dan Ismi Melinda.

Manakala pengarah popular, Dain Said juga tampil melakonkan watak antagonis bagi filem ini.

Filem ini juga diterbitkan hasil kerjasama Multimedia Entertainment, ACT 2 Pictures, Golden Screen Cinemas, Astro Shaw dan Primeworks Studios.

Filem ini akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 21 November ini.