Tutup

Tidak boleh semborono, ada SOP buat penaja Gegar Vaganza

Tidak boleh semborono, ada SOP buat penaja Gegar Vaganza
Untuk Gegar Vaganza musim ini, hampir 50 peserta telah menjalani uji bakat tetapi hanya 13 peserta sahaja yang disenarai pendek.
KUALA LUMPUR: Isu kontroversi penaja yang melanda program realiti Gegar Vaganza (GV) sebelum ini adalah satu perkara yang di luar kawalan pihak produksi.

Pelbagai kemungkinan dan kejutan sering sahaja berlaku dalam program terbitan Astro yang sentiasa mendapat perhatian dan tontonan meluas daripada peminat seni tanah air.

Namun begitu, dalam memastikan penaja program GV tidak bertindak di luar konteks penajaan, pihak produksi meletakkan Standard Operasi Prosedur (SOP) kepada mereka.

Menurut Ketua Strategi Kandungan Hiburan Astro, Raqim Ahmad, SOP yang diletakkan kepada penaja juga bagi memastikan mereka mengikut ketetapan yang disediakan.
“Saya tak nafikan penaja-penaja ini banyak membantu menaikkan Gegar Vaganza dan kontroversi setiap tahun tetap berlaku, itu sesuatu yang kita tidak boleh jangka.

“Tetapi setiap tahun kita ada sediakan SOP kepada penaja bagi memastikan mereka tidak tersasar dari landasan yang telah ditetapkan,” kata Raqim ketika menjadi tetamu dalam program AWANI Pagi pada Rabu.
Raqim juga dalam masa sama tidak menafikan, untuk GV musim ini juga, program berkenaan diminati oleh ramai penaja berbanding tahun-tahun sebelum ini.


Tambah Raqim, untuk GV musim ini hampir 50 peserta telah menjalani uji bakat tetapi hanya 13 peserta yang disenarai pendek.

GV musim keenam akan memulakan siarannya selama lapan minggu bermula 13 Oktober ini.

Antara penyanyi yang akan bertanding kali ini ialah Wann, Sham Visa dan Noorshila Amin.

Turut bersaing dengan mereka ialah Naqiu Boboy, Ameer Sofazr, Hady Mirza, Mazleela, Feeza dan Nurfatima.


Tag: Gegar Vaganza, SOP, Raqim Ahmad, Penaja, Astro



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.