Berita  |  Hiburan

Trailer filem Adiwiraku didedahkan, bakal cipta fenomena baru?

Trailer filem Adiwiraku didedahkan, bakal cipta fenomena baru?
Salah satu babak dalam filem Adiwiraku yang bakal ditayangkan pada 9 Mac depan. - Foto Facebook Adiwiraku
KUALA LUMPUR: Trailer filem Adiwiraku yang didedahkan semalam menerima reaksi positif khalayak filem tempatan dan dikatakan bakal mencipta satu fenomena baru.

Filem yang dihasilkan berdasarkan kisah benar tentang perjuangan dan kejayaan dua guru Bahasa Inggeris dalam mendidik pelajar di sebuah sekolah luar bandar di Kedah.

Adiwiraku menghidupkan kisah pelajar SMK Pinang Tunggal di Sg Petani yang berusaha untuk menyertai pertandingan choral speaking walaupun mengetahui peluang yang terlalu tipis untuk menang.
Guru Bahasa Inggeris sebenar yang jadi inspirasi kepada filem ini, Cheryl Fernando turut merakamkan satu tweet kegembiraannya apabila trailer filem itu mula ditonton orang ramai.


Diterbitkan oleh Sol Pictures Sdn Bhd, filem itu diarahkan oleh Eric Chong dengan lakonlayar oleh Jason Chong.

 

Sehingga berita ini ditulis, trailer filem itu yang dimuat naik di Facebook telah menerima 235 ribu tontonan dan dikongsi lebih 6 ribu pengguna.







Walaupun tanpa bintang popular tanahair, filem yang dibintangi oleh Sangeetha Krishnasamy, Xavier Fong, Adnin Zidane, Irdina Tasnim, Rizal, Balqis, Fara Safwan, Wan Azlyn (Darling) dikatakan bakal mencipta satu fenomena apabila ditayangkan nanti.

Difahamkan, pelakon yang memegang peranan sebagai pelajar merupakan pelajar sebenar sekolah berkenaan yang menjadi inspirasi filem tersebut.

Filem Adiwiraku bakal ditayangkan pada 9 Mac depan.

Ikuti perkembangan terkini filem itu dengan mengikuti hashtag #Adiwiraku dan di laman sosial rasmi www.facebook.com/adiwirakuthemovie.