Tutup

Uji bakat proses biasa bagi pelakon - Remy Ishak

Uji bakat proses biasa bagi pelakon - Remy Ishak
Remy Ishak menyifatkan proses ujibakat sebagai perkara biasa yang perlu dilalui pelakon. - Instagram/Remy Ishak
PETALING JAYA: Pelakon Remy Ishak menyifatkan proses uji bakat sebagai perkara biasa yang perlu dilalui pelakon, tidak kira pelakon lama mahupun baru.

Kata Remy, ujibakat bukan sahaja memberi produksi gambaran tentang kebolehan seseorang pelakon, tetapi juga membantu pelakon terbabit mendapat pendedahan berkenaan watak yang bakal dipegang.

"Saya tidak rasa ia satu perkara pelik kerana penting untuk pihak produksi menilai apa yang boleh ditawarkan pelakon, sama ada pelakon itu mempunyai karakter yang dikehendaki.

"Di pihak pelakon pula, proses ujibakat akan beri pendedahan dan pengalaman bagaimana untuk mereka berhadapan dengan panel penilai yang kebiasaannya terdiri daripada pengarah dan penerbit.
"Ia juga peluang keemasan untuk mereka tunjukkan kebolehan yang dimiliki," kata Remy ketika ditemui di sesi ujibakat Puteri Gunung Ledang The Musical 2020 (PGL2020) di sini, pada Ahad.

PGL2020 merupakan projek pementasan teater terbaharu Enfiniti, syarikat produksi milik Puan Seri Tiara Jacquelina, yang dijadualkan dipentaskan di Istana Budaya, Julai tahun hadapan.
Selain Remy, antara pelakon lain yang turut menjalani ujibakat ini ialah Nad Zainal, Hafeez Mikhail dan Azizul Ammar.

Proses ujibakat selama tiga hari bermula 22 November itu menyaksikan ratusan bakat muda hadir mencuba nasib bagi memenuhi pelbagai watak.

"Saya berbangga melihat ramai anak muda datang untuk ujibakat. Ini satu perkara positif apabila PGL berjaya mencetuskan minat untuk mereka kembali mengkaji sejarah Kesultanan Melaka.

"Tak kira betapa berbakat pun mereka, untuk terbabit dalam pementasan berskala besar, mereka perlu diberi latihan yang betul.

"Bukan senang nak berlakon setiap hari di atas pentas, dengan persembahan yang konsisten. Ia menuntut komitmen yang sangat tinggi," kata Tiara.