WALAUPUN mendapat kritikan yang tidak memberangsangkan dan rating yang agak rendah, itu tidak menghalang filem 'Venom' terbitan Sony untuk mengaut kutipan pecah panggung.

Sejak ia ditayangkan pada awal Oktober, 'Venom' terus kukuh berada di dalam senarai filem pecah panggung di seluruh dunia.

Pelakon terkenal Tom Hardy memegang watak utama sebagai Eddie Brock/Venom, dibantu Riz Ahmed dan Michelle Williams.

'Venom' berjaya mengutip sebanyak USD500 juta bagi kutipan di seluruh dunia sedangkan bajet filem ini hanya sekitar USD100 juta.

Dengan hasil kutipan pecah panggung ini, pihak Sony umpama mendapat durian runtuh.

Hal ini kerana, ia belum lagi termasuk hasil jualan cenderamata, jualan filem 'Venom' versi Blu-Ray, streaming dan bayaran hak penyiaran filem.

Sudah pasti, pengumuman sekuel kepada filem ini akan dibuat pada bila-bila masa sahaja.

Selain daripada itu, filem symbiote ini mendapat undian sebanyak 30% daripada pengkritik di Rotten Tomatoes, tetapi mendapat undian 87% daripada peminat.

Berdasarkan angka itu, ya, mungkin ada sesuatu kekurangan di dalam filem 'Venom'.

Bagaimanapun, sebagaimana lumrahnya, tiada filem yang dapat memuaskan hati semua pihak.

Walaupun Venom adalah watak anti-hero dari Marvel, tetapi filem ini tidak terlibat dan tiada kaitan dengan Marvel Cinematic Universe (MCU).