Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini memuji potensi industri perfileman dan animasi tempatan yang mampu pergi jauh dan melahirkan karya berkualiti setanding dengan negara luar.

"Saya berasa bangga bahawa potensi perfileman terutamanya di bawah bakat anak-anak bangsa negara kita telah digilapkan dan dibawa ke tahap sebegini hebat," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menonton filem animasi 'Ejen Ali the Movie' bersama 50 orang kurang upaya (OKU) yang merupakan penghuni Taman Sinar Harapan (TSH) Cheras, selain suaminya Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Tayangan khas filem itu yang berlangsung di mmCineplexes, e-Curve Damansara itu merupakan inisiatif dan cadangan Dr Wan Azizah sendiri agar dapat meluangkan masa dengan penghuni TSH yang merupakan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat yang memberi penjagaan, pelindungan dan pemulihan kepada kanak-kanak dan remaja OKU.

Dr Wan Azizah berkata filem animasi Ejen Ali itu misalnya, mempunyai kualiti yang amat bagus dan sarat dengan latar cerita yang menarik.

"Dalam filem itu, isu-isu sosial dan mesej-mesej penting telah diketengahkan termasuklah pelajaran kehidupan dan jangan putus asa walau susah," katanya.

Ejen Ali the Movie, filem terbitan Primeworks Studios dan WAU Animation itu meraih kutipan sebanyak RM30 juta di Malaysia, Singapura dan Brunei dalam tempoh enam minggu tayangannya, yang mengisahkan Ali, 12, direkrut menjadi penyiasat di agensi perisikan dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency.

-- BERNAMA