Tutup

Wann, Sham Visa, Kool & One Nation Emcees antara 13 peserta Gegar Vaganza 6

Wann, Sham Visa, Kool & One Nation Emcees antara 13 peserta Gegar Vaganza 6
Peserta Gegar Vaganza musim keenam (GV6).
MEMECAHKAN kebuntuan ramai, senarai peserta rancangan realiti hiburan paling popular Gegar Vaganza musim keenam (GV6) akhirnya diumumkan sebentar tadi.

Menjawab tanda tanya ramai, nama-nama besar antaranya Wann, Sham Visa, Noorshila Amin, Naqiu (Boboy), Ameer (Sofazr) dan Hady Mirza antara bintang GV6 kali ini.

Malah, penyanyi wanita yang pernah popular sekitar era 90-an dan awal 2000 seperti Mazleela, Feeza dan Nur Fatimah turut bertanding kali ini.

GV6 antara lainnya turut dibarisi bintang legenda Roy yang popular dengan lagu Ratnaku dan Jatt Ali dari kumpulan Black Dog Bone.
BACA: Mungkinkah Jatt Black Dog Bone, Deja Moss dan Sham Visa peserta Gegar Vaganza ke-6?

Masih mengekalkan format sama seperti tahun lalu, GV6 disertai dua kumpulan iaitu Kool (Hairie & Riot) serta One Nation Emcees (Mimi Fly, Jojo Fly, Kozae) yang turut disertai penyanyi solo kelahiran Sabah, Sabhi Saddi.
Senarai itu diumumkan dalam satu sidang media yang berlangsung di The Gardens Theatre, Mid Valley Kuala Lumpur pada Selasa.

GV6 akan bersiaran selama lapan minggu bermula 13 Oktober secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Ia akan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (104), Ria HD (123) dan Astro GO setiap Ahad pukul 9 malam.

Untuk rekod, GV musim pertama telah dimenangi oleh Ayai (Ilusi) dan diikuti Siti Nordiana (GV2), Azharina (GV3), Aishah (GV4) dan Noryn Aziz (GV5).