Wardina kongsi pengalaman mangsa pedofil, buka mata ramai pihak

Wardina kongsi pengalaman mangsa pedofil, buka mata ramai pihak
WARDINA: Kanak-kanak tidak layak dilayan sebegitu rupa - Foto fail
KUALA LUMPUR: Personaliti TV Wardina Safiyyah menjadi tumpuan hari ini apabila memuat naik  pengalaman mangsa-mangsa yang pernah mengalami penderaan seks di waktu kecil di laman sosialnya.

Ia merupakan pengalaman sebenar beberapa pengikut Wardina di laman rasmi Facebooknya.

Dengan merahsiakan identiti mereka, luahan yang dikongsikan Wardina cukup membuka mata ramai pihak bahawa gejala pedofil bukanlah satu jenayah asing di negara ini.

Kata Wardina, niatnya bukan untuk mengaibkan pelaku seksual namun adalah lebih aib jika masyarakat terus membela mereka.

“Setiap daripada kita boleh memainkan peranan dalam merubah tidak kira betapa kecil usaha tersebut.

“Kanak-kanak tidak layak dilayan sebegitu rupa. Mereka berhak membesar untuk menjadi yang terbaik dalam hidup mereka. Kita perlu melindungi bukan sahaja anak-anak kita malah anak-anak yang lain,” tulis Wardina di dalam Facebooknya.

Ada antara mereka yang menjadi mangsa pedofil yang terdiri di kalangan mereka yang dihormati di dalam masyarakat seperti guru dan ustaz selain ada juga yang menjadi mangsa kerakusan anggota keluarga sendiri.

Pembaca-pembaca yang mengikuti kisah-kisah yang dikongsikan turut berasa simpati dan geram dengan kejadian yang pernah melanda mangsa.

Tidak kurang juga ada turut berkongsi cerita-cerita tersebut di ruang media sosial bagi memberi pengajaran kepada yang lain.










Sebelum ini, negara dikejutkan dengan berita bekas pelajar pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara) Nur Fitri Azmeer Nordin yang didapati bersalah oleh Mahkamah London kerana memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak.

BACA: Pelajar genius Malaysia di London dipenjara lima tahun miliki bahan lucah kanak-kanak

BACA: Pedofil: Netizen wujudkan hashtag luah rasa berang

Penuntut Imperial College jurusan Matematik berusia 23 tahun itu kemudian mendapat cemuhan ramai apabila Mara mahu memberinya peluang kedua selepas tamat hukuman penjara lima tahun yang dijalani Nur Fitri.