Pastinya WKNDFEST VOL 1:Kpop Edition merupakan festival muzik K-Pop yang paling dinanti-nantikan semua peminat K-Pop di rantau Asia pada tahun ini.

Malangnya, festival yang dijadualkan bakal berlangsung pada 30 Ogos ini ditundakan susulan penganjurnya World Wonder Fest Sdn Bhd mendakwa meletakkan kepercayaan kepada rakan perniagaan mereka tetapi dikecewakan.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik pada Isnin, Wkndfest berkata pihaknya masih baru dalam bidang penganjuran konsert dan telah meminta nasihat daripada syarikat yang mempunyai lebih pengalaman bagi menguruskan festival tersebut.

“Kami adalah pengajur konsert baharu dan kami mengamanahkan sebuah syarikat yang mempunyai lebih pengalaman bagi mendapatkan barisan artis Korea Selatan yang paling bagus untuk festival julung kami.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa kelewatan, alasan dan kecuaian daripada rakan perniagaan kami yang tidak dapat terima.

“Isu seperti kelulusan dan permit untuk festival ini masih dalam proses mendapatkan kelulusan dan sepatutnya diselesaikan beberapa bulan yang lalu,” katanya menerusi kenyataan tersebut yang dimuat naik di laman sosial media Wkndfest.


Pengasas bersama Wkndfest, Khairul Anwar ketika dihubungi mengakui penundaan festival tersebut berpunca daripada ketiadaan perancangan yang teratur sejak awal lagi daripada pihaknya dan rakan perniagaan.

“Ia sememangnya perancangan yang tidak teratur sejak awal lagi.

“Pihak saya telah diberikan nasihat yang tidak senonoh dan dibuli untuk membuat keputusan.

“Kami sedang mendapatkan khidmat nasihat undang-undang untuk meneruskan perancangan konsert,” kata Khairul apabila dihubungi pada petang Isnin.



Apabila ditanya sama ada festival ini merupakan satu ‘scam’, beliau menafikannya dan berkata pihaknya akan mengembalikan wang tiket kepada semua pengunjung yang sudah membeli tiket.

“Kami sudah melabur sebanyak RM2.4 juta dalam projek ini. Oleh itu, ia tentunya bukan suatu ‘scam’.

“Dan menerusi kenyataan kami, kami sudah berkata kami akan mengembalikan wang tiket kepada semua pengunjung yang sudah membeli tiket.

“Kami ingin memohon maaf kepada semua pembeli tiket dan artis yang dijadualkan untuk hadir ke Malaysia bagi membuat persembahan di konsert ini,” tambahnya.

Tambahnya lagi, beliau tidak dapat memberi kepastian bahawa barisan artis K-Pop yang dijadualkan hadir akan kembali buat festival tersebut kelak dan masih dalam proses perbincangan.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan satu tarikh yang muktamad sama ada festival tersebut akan berlangsung dalam masa terdekat.

Rata-rata peminat yang sudah membeli tiket mereka meluahkan kekecewaan mereka kerana telah lama menantikan festival yang 'gempak' ini.


Terdahulu, Wkndfest Vol 1: K-pop Edition telah dijadualkan semula untuk berlangsung pada 30 Ogos ini daripada tarikh asal 1 September depan dan menampilkan kumpulan serta artis K-Pop terkemuka seperti Tiffany Young, iKON, VAV, (G)I-DLE, Mamamoo dan Momoland.