Filem Dukun bakal melakar sejarah dengan penayangan di bandar New York pada 13 Julai ini.

Membariskan pelakon utama, Datin Seri Umie Aida dan Faizal Hussein, filem arahan Dain Said ini akan dipertontonkan di School of Visual Arts (SVA) Theatre, New York sempena Festival Filem Asia New York (NYAFF) 2018.

Penerbit Astro Shaw dalam pada itu turut mengesahkan pemilihan Dukun sebagai antara pesaing dalam kategori Anugerah Penonton pada NYAFF 2018.

"Pemenang kategori ini diadili berdasarkan undian penggiat dan penonton filem tempatan. Kita dimaklumkan pemenang bagi setiap kategori akan diumumkan pada hari terakhir festival, Ahad ini," katanya dalam satu kenyataan.

NYAFF 2018 yang bermula sejak 29 Jun lalu sehingga 15 Julai ini bertujuan memberi pendedahan kepada filem-filem Asia untuk diiktiraf dan ditayangkan di New York.

Sementara itu, Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar semasa semasa dihubungi Astro AWANI berkata, beliau berharap Dukun akan diterima baik di New York.

"Walaupun tiada seorang pun pelakon Dukun akan berada di New York, namun, semangat semua yang menjayakan Dukun akan tetap berada di sana. Apa yang penting orang-orang New York sukakan Dukun,"
katanya.

Malah, ketika ini, Astro Shaw juga sedang mengintai peluang untuk turut sama menyertai festival-festival filem antarabangsa yang lain.

"Ya, kami telah dijemput ke pelbagai festival dan sekarang kami sedang menimbang untuk menerima peluang-peluang yang diberikan. Kami percaya Dukun cerita universal yang penonton antarabangsa harapkan," katanya.

Dukun dipalit kontroversi tahun ini selepas mula ditayangkan April lalu walaupun tempoh 12 tahun lalu.

Jalan cerita yang dikatakan mempunyai persamaan dengan kes pembunuhan berprofil tinggi, didakwa menjadi punca filem berkenaan tidak ditayangkan.

Dukun mengutip kira-kira RM11 juta semasa tayangannya di seluruh negara.

Dukun turut dibintangi Namron, Bront Palarae, Hasnul Rahmat, Elyana, Allahyarham Ramli Hassan dan Adlin Aman Ramlie.