Badan kebajikan Yayasan Nurjiwa yang diuruskan oleh penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Taruddin memberi sumbangan berupa barangan keperluan sejadah, telekung, kain pelikat dan Al-Quran kepada mangsa banjir bernilai RM310,000 di Terengganu.

Sumbangan itu diserahkan melalui wakil Pakar Pengendalian Air ke-60 Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Askar Wataniah, Jeneral (K) Tan Sri Rozali dalam satu majlis di ibu pejabat Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Segala keperluan itu dimuatkan ke dalam lima buah trak tentera yang bertolak kira-kira jam 12 tengah hari tadi dari ibu pejabat Syabas di Bangsar.

Kali ini yayasan itu akan bekerjasama dengan Syabas dan RAJD Askar Wataniah bagi menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di negeri Terengganu.

Syabas menghantar lima buah lori tangki bagi membantu kerja-kerja pembersihan kawasan perumahan terjejas.

Yayasan Nurjiwa merupakan sebuah badan kebajikan yang berperanan untuk membantu golongan yang memerlukan terutamanya anak-anak yatim, golongan termiskin dan mangsa bencana alam.

Sebelum ini penyanyi nombor satu negara itu telah mengumumkan bahawa akan memberikan sumbangan bernilai RM310,000 pada sambutan hari jadinya, 11 Januari lalu.

Sumbangan tersebut sebahagiannya adalah hadiah hari lahir dari suami dan sebahagian lagi adalah sumbangan yang dikumpul daripada beberapa individu.