Penyanyi Yuna hari ini mengikat tali pertunangan dengan Adam Yousof Mohamad Sinclair pada satu majlis yang diadakan di kediaman ibu bapa Yuna di Shah Alam.

Majlis tersebut dihadiri oleh keluarga terdekat dan sahabat rapat sahaja, menurut satu kenyataan dikeluarkan Yuna Room Records sebentar tadi.

Katanya, Yuna, 30, atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zara’ai, mula mengenali Adam, 32, di set rakaman untuk iklan televisyen, pada awal 2013.

Adam, adik bongsu kepada pelakon Ashraf Sinclair dan Aishah Sinclair, dilahirkan di Riyadh, Arab Saudi dan bekerja sebagai pengarah filem.

Mereka pada mulanya hanya berkawan biasa.

"Pada akhir tahun 2015, hubungan Yuna dan Adam semakin rapat dan mula merancang dengan lebih serius untuk berkahwin.

"Yuna sudah pun membawa Adam berjumpa dengan kedua ibu bapanya, dan dia juga sudah mengenali keluarga Adam.

"Rancangan untuk bertunang bermula selepas upacara merisik pada 27 Mac 2017," kata kenyataan itu.

Yuna disarungkan cincin pada majlis pertunangannya hari ini. Foto Zel Atif Ishak

Dalam kenyataan itu, Yuna turut melafazkan kesyukuran atas kelancaran majlis bersejarah itu.

"Kami sekeluarga sangat gembira dapat berjumpa dan bermesra dengan seluruh keluarga Adam.

"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat-peminat yang selalu mendoakan kebahagiaan saya.

"Berkat doa mereka, hari ini saya selamat bertunang dengan Adam Sinclair," katanya.

Yuna dan Adam Sinclair. Foto Zel Atif Ishak

Mengenai tunangnya, ini kata-kata Yuna:

"Ini merupakan moment yang sangat manis bagi saya, kerana ini langkah pertama kami untuk hidup bersama dan saya sangat bersyukur berjumpa dengan seorang yang sangat penyayang dan baik hati seperti Adam.

"Percaturan Allah itu memang sungguh indah, Adam merupakan rakan karib saya, dan sepanjang perkenalan kami dia telah mewarnai hidup saya dan buat saya senyum dan ketawa, saya gembira akan bergelar isteri kepadanya satu hari nanti, InshaAllah."