Pejam celik, pejam celik, Malaysia sudah pun mencapai usia 50 tahun. Banyak perkara yang dilarang dilakukan oleh wanita pada zaman dahulu, kini telah pun dipratikkan oleh mereka.

Namun tokoh-tokoh seperti Pandelela Rinong (perenang negara dan atlet wanita pertama Malaysia yang memenangi pingat Olimpik), Datuk Nicol Ann David (pemain squasy nombor satu dunia), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz (gabenor Bank Negara) dan Kapten Norashikin Onn (juruterbang wanita pertama Malaysia) telah membuktikan bahawa arena yang dahulunya dikuasai oleh kaum lelaki, kini mampu diceburi oleh wanita juga.

Selepas lima puluh tahun, siapa sangka yang Malaysia telah melahirkan atlet profesional wanita bagi sukan seni mempertahankan diri campuran (MMA)?

Nur Ain Osman atau lebih dikenali sebagai Ann 'Athena' Osman, 27 tahun, dan berasal dari Sabah, merupakan wanita pertama Malaysia yang bakal bertarung secara profesional dalam kejohanan MMA, ONE Fighting Championship (ONE FC) – sesuatu yang amat membanggakan! Gadis separuh Dusun itu telah berlatih selama dua tahun dalam sukan MMA dan mempunyai latar belakang yang kukuh dalam seni mempertahankan diri Muay Thai di mana beliau telah dilatih oleh jurulatihnya, AJ ' Pyro ' Lias Mansor. Ann akan bertanding dalam acara MMA terbesar Asia itu pada 18 Oktober 2013.

Ann bukan sahaja mahir dalam seni mempertahankan diri, malah beliau mampu mengangkat seorang lelaki!

ann1
Ann sedang gigih berlatih di studio MMA, Borneo Tribal Squad di Kota Kinabalu

Semuanya bermula beberapa tahun yang lalu apabila Ann, didorong oleh gaya hidupnya yang sihat, telah pergi ke gimnasium. Di situ Ann telah melihat AJ melatih anak muridnya teknik-teknik Muay Thai. Perasaan ingin tahu yang kuat telah mendorong dirinya untuk mencuba seni itu. Selepas beberapa sesi latihan, dia mula jatuh cinta dengan Muay Thai. Sejak itu Ann terus berlatih dan menurutnya, beliau tidak meninggalkan satu sesi pun. Minat beliau dalam seni mempertahankan diri semakin kuat, apatah lagi setelah jurulatihnya memperkenalkannya kepada sukan MMA.

Selain seni mempertahankan diri, Ann turut meminati sukan lasak seperti kayak laut, mountain bike dan juga hiking. Di sekolah, Ann gemar bermain bola keranjang dan juga bola jaring. Minat beliau kepada sukan dan aktiviti luar, merupakan antara faktor beliau menceburkan diri dalam MMA. Sebagai seorang pengamal seni mempertahankan diri, Ann telah bertarung dalam pelbagai kejohanan amatur Muay Thai serta MMA di seluruh negara.

ann2
Latihan luar bersama jurulatihnya, AJ 'Pyro' Lias Mansor

Bagi Ann, peluang untuk mewakili Malaysia merupakan satu impian yang menjadi kenyataan. Bagi Ann, ia adalah satu penghormatan besar untuk membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa dan membawa pulang kemenangan. Dan sebagai rakyat Malaysia sejati, dia berasa amat bangga. Beliau bekerja keras dalam persediaannya untuk kejohanan di ONE FC nanti dan menurut beliau, sokongan daripada rakyat Malaysia sememangnya menjadi pemangkin beliau untuk memenangi gelaran kejohanan tersebut.

Pada pandangan Ann, persepsi bahawa sukan MMA adalah 'sukan lelaki' tidak boleh diterima sama sekali. Ann berasa sedih apabila ada yang mempunyai persepsi sebegitu. Katanya, tidak ada istilah ‘sukan lelaki' kerana dia telah menyaksikan sendiri wanita mengambil bahagian dalam sukan yang didominasi oleh lelaki.

ann3
Ann membuat persediaan rapi untuk kejohanan ONE FC: Total Domination

Ann juga percaya bahawa wanita kini mampu melakukan perkara-perkara yang dahulunya hanya dibuat oleh kaum lelaki, terutamanya setelah negara kini mencapai usia emas. Bagi beliau, sudah tiba masanya untuk Malaysia terus maju ke hadapan. Katanya lagi, tidak mustahil untuk berjaya jika seseorang itu pandai membahagikan masa. Sebagai seorang yang berdisiplin tinggi, Ann membahagikan masanya antara kerjaya dalam industri hartanah, membantu jurulatih, dan keluarga. Beliau percaya pengurusan masa adalah kunci ke arah kejayaan.

Pertarungan di ONE FC sudah tentunya satu langkah yang besar untuknya, dan satu lonjakan gergasi untuk Malaysia. Bagaimanapun, buat masa ini fokus Ann adalah membuat persiapan rapi bagi menghadapi kejohanan itu.

Kisah Ann ini, merupakan bukti yang kukuh bahawa Malaysia sememangnya ... boleh!