Penuh warna warni dan meriah.

Itulah suasana di tapak sambutan ulang tahun ke 50 Hari Malaysia yang diadakan di Padang Merdeka Kuching, Sarawak pada pagi tadi.

Sejak 16 September diumumkan sebagai cuti umum sempena Hari Malaysia tiga tahun lalu, perayaan pada kali ini turut menyaksikan sambutan jubli emas 50 tahun Sarawak membentuk Malaysia.

Sambutan berlangsung dengan kehadiran ribuan rakyat tempatan serta pelancong asing yang turut gembira menyaksikan pelbagai persembahan budaya masyarakat majmuk di negara ini.

Seawal jam 7 pagi, warga negeri itu dilihat hadir bersama kaum keluarga dan rakan taulan membanjiri Padang Merdeka untuk menyaksikan perarakan.

Sambutan bermula tepat jam 8 pagi sejurus keberangkatan tiba Yang Di Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muā€™adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Turut hadir Yang Di Pertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Lagu Negaraku kemudiannya dimainkan dan dua helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan lintas hormat sambil membawa Jalur Gemilang dan bendera negeri Sarawak serta 'smoke grenade', serentak dengan tembakan meriam 21 das oleh Rejimen Artileri Diraja dari Kem Penrissen.

Seri Paduka kemudian memeriksa Kawalan Kehormat Utama oleh Batalion ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja dari Kem Penrissen terdiri daripada empat pegawai dan 106 anggota lain-lain pangkat diketuai Mejar Al Juharjie Muhamud.

Acara diteruskan dengan bacaan ikrar Rukun Negara oleh Zakaria Manan di depan Pentas Diraja diiringi 50 belia pelbagai suku kaum.

Tayangan Video Khas '50 Tahun Jubli Emas Sarawak Harmoni Kemakmuran Dinikmati' dipersembahkan di tengah padang sebelum Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berucap.

Perdana menteri kemudian menyampaikan amanat Hari Malaysia sebelum perarakan kontinjen bermula.

Perarakan dan persembahan sambutan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Perarakan Kontinjen Berjalan Lalu, Perarakan Kontinjen Kenderaan dan Fly-Pass serta Persembahan Kebudayaan.

Kemuncak perarakan hampir tiga jam itu adalah persembahan kebudayaan, tarian dan nyanyian bertemakan 'Sarawak Harmoni Kemakmuran Dinikmati' yang melibatkan 1,500 peserta.