Bangga, terharu dan sebak adalah antara reaksi yang diberikan rakyat Malaysia sebaik sahaja Tun Dr Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh pada Khamis.

Pelbagai kata-kata semangat dan harapan menjelang era baharu kepimpinan Pakatan Harapan yang diketuai Dr Mahathir dizahirkan menerusi media sosial sejak malam tadi.

Istiadat angkat sumpah yang menjadi perhatian itu berlangsung di hadapan Yang di Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Balai Rong Seri, Istana Negara kira-kira jam 9.50 malam.

Berikut adalah 10 fakta mengenai Dr Mahathir yang anda perlu ketahui:

1) Dilahirkan pada 10 Julai, 1925 di Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.

2) Anak bongsu daripada 9 adik-beradik kepada pasangan Mohamed Iskandar dan Wan Tempawan Wan Hanapi.

3) Pertama kali menyertai kabinet pada pilihan raya ketiga pada 1964 sebagai Ahli Parlimen Kota Setar.

4) Pertama kali dilantik menjadi Perdana Menteri keempat ketika berumur 56 tahun pada 1981.

5) Membawa Malaysia keluar daripada Krisis Kewangan Asia 1997 semasa pemerintahan beliau.

6) Sekali lagi menjadi Perdana Menteri pada 2018 ketika berusia 92 tahun selepas meletak jawatan pada 2003.

7) Kembali ke Pejabat Perdana Menteri di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya selepas 15 tahun dan dinobatkan sebagai Perdana Menteri tertua di dunia.

8) Mengumumkan keluar dari UMNO pada tahun 2016 kerana tidak bersetuju dengan pemerintahan Datuk Seri Najib Razak.

9) Mempengerusi dan menubuhkan parti politik baharu iaitu Parti Pribumi Bersatu (PPBM) pada 2017.

10) Mengetuai PPBM menyertai Pakatan Harapan bagi mengambil bahagian dalam pilihan raya ke-14.