Sejumlah 1,100 kediaman di Jasin mendapat akses internet berkelajuan tinggi selepas kejayaan projek rintis bagi Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang dibangunkan kerajaan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata pihaknya akan melihat keseluruhan hasil projek rintis ini bagi pertimbangan pelaksanaan pada skala lebih besar di seluruh negara.

“Penduduk di Kuarters Polis Jasin, Taman Merbau Perdana, Taman Maju dan Felda Kemendor kini boleh menikmati kelajuan internet mencecah 1Gbps.

“Kita buat keputusan berdasarkan kepelbagaiannya, iaitu tempat yang ada kawasan pedalaman, kawasan bandar, terpencil, kawasan Felda supaya kita dapat lihat kemampuan menyalurkan akses hubungan kepada semua lapisan masyarakat, oleh itu kita pilih Jasin,” kata Gobind dalam sidang media, di sini, pada Selasa.

Pembangunan infrastruktur yang telah siap dibina termasuk kabin telekomunikasi, Fiver Distribution Cabinet (FDC), kerja-kerja merentang kabel fiber optik dan memasang Fiber Distribution Point (FDP) pada tiang-tiang elektrik.

“Projek rintis ini dijalankan TNB dan menjadi hasrat kerajaan untuk menyediakan rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi mampu milik kepada semua lapisan masyarakat di seluruh negara.

“Program ini berjaya untuk merealisasikan visi kementerian untuk menghubungkan seluruh rakyat Malaysia,” kata Gobind.

Sementara itu, Pengerusi TNB Tan Sri Leo Moggie berkata projek perintis ini terbahagi kepada dua bahagian.

“Pertama adalah untuk kita meyakinkan kemampuan kemudahan ini secara teknikal, di mana ia sudah terbukti mampu.

“Sekarang kita perlu masa untuk melihat keadaan fiber optik. Tetapi apa yang penting, kita boleh akses untuk syarikat pengendali untuk menyambung kepada pengguna yang memerlukan perkhidmatan,” kata Leo Moggie.

Bagi Exco Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Kerk Chee Yee, ini merupakan inisiatif yang baik untuk meningkatkan akses internet di Melaka.

“Ketika ini di Melaka, hanya 40 peratus penduduk mendapat akses kepada internet. Ini merupakan cabaran kepada kerajaan kerana melibatkan perubahan sistematik.

“Kami akan berusaha untuk mencapai sasaran 90 peratus penduduk Melaka mendapat akses internet menjelang 2023,” kata Kerk Chee Yee.