Seramai 1.25 juta peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini tersenarai dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) .

Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, langkah itu bukanlah bertujuan menyenarai hitam peminjam, sebaliknya ia bagi mendisiplinkan peminjam supaya membayar semula pinjaman secara konsisten.

“Saya hendak maklumkan tindakan ini bukan senarai hitam ia hanya memasukkan nama kepada sistem rujukan kredit Bank Negara. Ini amalan mana-mana syarikat kewangan ia bukan tindakan luar biasa, ini amalan yang dipraktikkan oleh mana-mana institusi kewangan,” kata Shamsul Anuar selepas pelancaran SSPN-i Plus peringkat Pulau Pinang di Bukit Mertajam, hari ini.

Katanya, peminjam yang mempunyai rekod pembayaran buruk berisiko sukar memperoleh kelulusan pinjaman dari semua institusi kewangan, termasuk bagi permohonan pinjaman peribadi, kad kredit, perumahan dan kenderaan.

Tambahnya, setiap tahun, PTPTN memerlukan kira-kira RM5 bilion bagi menyediakan pinjaman kepada pelajar baharu.

Justeru langkah yang dilakukan PTPTN itu bagi memastikan mereka dapat memungut semula wang bagi kegunaan peminjam baharu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan yang tersebar di laman media sosial bahawa peminjam PTPTN yang berada di dalam CCRIS tidak boleh membuat pinjaman pembelian kereta dan perumahan.

Pada 16 Jun 2015 , PTPTN telah menghantar senarai nama peminjam yang gagal menjelaskan pinjaman balik kepada PTPTN ke Bank Negara dan nama mereka telah dimasukkan dalam senarai CCRIS.