Pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) telah memanfaatkan lebih 1.5 juta pelanggan jalur lebar di seluruh negara apabila dibandingkan dengan harga sebelum pelaksanaannya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Gobind Singh Deo berkata pelanggan pakej permulaan kini boleh menikmati penjimatan sebanyak RM50 sebulan atau RM600 setahun.

Malah, katanya sejak September lalu, Telekom Malaysia juga telah menurunkan harga perkhidmatan Streamyx untuk pelanggan sedia ada kepada RM69 sebulan daripada harga pakej dahulu iaitu RM110-RM160.

“Hasil daripada usaha yang sama, pengguna juga menikmati perkhidmatan jalur lebar dengan kelajuan yang lebih tinggi sebanyak tiga kali ganda.

“Bilangan langganan jalur lebar tetap dengan kelajuan muat turun lebih daripada 100 Mbps meningkat lapan kali ganda kepada 1.2 juta pelanggan pada 2018 sementara permintaan untuk perkhidmatan jalur lebar tetap untuk pelanggan kediaman dan pelanggan perniagaan telah meningkat sebanyak 18 peratus dan 22 peratus di antara bulan Ogos 2018 sehingga bulan Ogos 2019,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta kementerian menyatakan kejayaan utama Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) sejak dilancarkan pada tahun lepas dan fokus atau projek utama dalam jangka masa pendek akan datang, khasnya untuk 2020.

Jelasnya, perancangan bagi projek NFCP telah bermula sejak suku kedua tahun ini dan sedang melalui proses kelulusan dalaman Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan dijangka dilaksanakan bermula tahun depan.

Antara projek utama yang telah dirancang dan akan dilaksanakan di bawah NFCP adalah pembinaan menara komunikasi baharu di 153 lokasi di seluruh negara bagi penyediaan liputan perkhidmatan selular 3G dan 4G.

Selain itu, rancangan pembinaan menara komunikasi baharu di lebih kurang 500 lokasi di seluruh negara bagi penyediaan liputan perkhidmatan selular 3G dan 4G, penyambungan rangkaian gentian optik kepada 100,000 premis bagi meningkatkan kualiti dan kelajuan jalur lebar di pinggir bandar dan luar bandar dan rancangan penyediaan dan penambahbaikan liputan selular dan/atau jalur lebar yang dianggarkan di 151 kawasan penempatan Orang Asli di seluruh negara.