Sindiket menyeludup haiwan eksotik yang beroperasi lebih tujuh tahun akhirnya diserbu pasukan penguat kuasa dengan merampas tiga kontena kotak 1,860 berisi tenggiling beku, tenggiling hidup, kaki beruang dan keluang bakau dalam serbuan di Sepanggar serta Tamparuli, kelmarin.

Dalam operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah pada 8.46 malam Jumaat itu juga menahan seorang lelaki berusia 35 tahun di kawasan Sepanggar sebelum membawa kepada serbuan di sebuah gudang di Kampung Bontoi, Tamparuli yang dijadikan markas menyimpan kontena berisi haiwan eksotik itu.

Malah, kesemua haiwan eksotik yang dirampas itu bernilai RM8.4 juta.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah, hasil pemeriksaan di gudang berkenaan berjaya menemui kotak berisi daging tenggiling yang dibekukan.

Omar (kiri) menunjukkan beberapa kotak dipercayai berisi tenggiling beku dari sebuah kontena.

"Sepasukan pegawai dan anggota polis dari IPD Kota Kinabalu bersama sepasukan pegawai dari JHL Sabah telah membuat serbuan di sebuah kilang di Jalan Sepanggar kerana terdapat maklumat kegiatan penyeludupan dan pemprosesan daging dan kulit binatang tenggiling secara haram.

"Hasil daripada pemeriksaan ini telah berjaya menangkap seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun dan merampas sebuah kenderaan serta 35 ekor binatang tenggiling yang masih hidup di belakang bonet kereta tersebut," katanya pada sidang media di gudang di Kampung Bontoi, Tamparuli pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Omar berkata, siasatan awal mendapati modus operandi suspek adalah menggunakan kenderaan kecil bagi proses transit barangan seludup tersebut yang turut melibatkan pemburu haram bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

Menurutnya, siasatan awal juga tidak menolak kemungkinan kesemua barangan seludup itu adalah bagi pasaran gelap di dalam dan luar negeri.

Sementara itu, Augustine berkata, pihaknya akan menyiasat secara menyeluruh berhubung kes berkenaan dan meminta orang ramai terus membantu JHL Sabah dalam membasmi kegiatan penyeludupan binatang eksotik di negeri ini.

" Kadar populasinya rendah dan ditambah lagi oleh pemburuan haram, kita tidak ada figure atau angka untuk memberitahu bahawa ini jumlah populasi tenggiling di Sabah.

"Kita telah memindah enakmen pemeliharaan hidupan liar 1997 seksyen pada jadual, daripada jadual dua kepada jadual satu pada 2016, jadi pada masa kini tenggiling ialah haiwan dilindungi sepenuhnya di bawah jadual satu enakmen tersebut,"katanya.