Tutup

10,000 unit lampu jalan LED bakal terangi kampung di Semenanjung

10,000 unit lampu jalan LED bakal terangi kampung di Semenanjung
Datuk Seri Rina Harun dan Yeo Bee Yin melancarkan Pemasangan Lampu Jalan Kampung (LJK) di kampung Rincing Hilir, Semenyih pada Isnin. - Foto Astro AWANI/Fareez Azman
HULU LANGAT: Sebanyak 10,000 unit Lampu Jalan Kampung (LJK) jenis light emitting diode (LED) akan dipasang di kampung seluruh Semenanjung Malaysia menjelang tahun 2020.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun, inisiatif tersebut adalah atas kerjasama kementeriannya dengan Kementerian Tenaga,Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menggunakan Dana Incentive Based Regulation (IBR) sebanyak RM50 juta.

Jelasnya, ia bakal memberi kemudahan lampu jalan lebih terang dan cekap tenaga bagi penduduk.

“Penduduk luar bandar amat memerlukan lampu jalan kampung. Untuk makluman peruntukan lampu jalan kampung (LPK) ini telah tamat 9 Februari lalu dan apabila banyak permintaan dari kampung ia memerlukan satu keperluan asas penduduk.”
“Apabila saya ajukan kepada MESTECC mereka telah bersetuju membantu, lampu ini akan kita pasang di seluruh Semenanjung,” katanya kepada pemberita.

Pemasangan lampu berkenaan akan dijalankan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di lokasi yang telah ditentukan.

Ujar Rina, setiap kampung akan menerima 40 buah lampu.
Sementara itu, Menteri Tenaga,Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin memaklumkan, pengunaan LED dijangka dapat mengurangkan penggunaan elektrik sehingga 40 peratus.

“Lampu LED lebih cerah dan menjimatkan elektrik. Kerosakan rendah kos penyelengaraan boleh dikurangkan. Sangat penting orang-orang kampung dapat nikmati.

"Kita akan berikan mengikut keperluan dan permintaan. Sebelum ini, ada juga banyak kampung yang dipasang lampu ini,” tambah Bee Yin.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Pelancaran Pemasangan Lampu Jalan Kampung di Kampung Rincing Hilir, Semenyih pada Isnin.



Tag: Lampu, LED, Kampung, Rina Harun, Yeo Bee Yin, MESTECC, KPLB, Semenyih, Kajang, Lampu Jalan Kampung, Tenaga Nasional Berhad, IBR, Peruntukan, Menteri Pembangunan Luar Bandar


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.