Seramai 10 ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (Exco) mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, hari ini.

Turut berangkat pada Majlis Istiadat Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu ialah Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Hadir sama, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar, serta Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Sultan Johor, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang mengangkat sumpah ialah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO iaitu Datuk Samsolbari Jamali (ADUN Semarang); Ayub Jamil (ADUN Rengit), Zaiton Ismail (ADUN Sungai Balang) serta Datuk Onn Hafiz Ghazi (ADUN Layang-Layang); dan seorang ADUN MIC R. Vidyananthan (ADUN Kahang).



Yang lain adalah empat ADUN Bersatu iaitu Mazlan Bujang (ADUN Puteri Wangsa), Mohd Solihan Badri (ADUN Tenang); Tosrin Jarvanthi (ADUN Bukit Permai) serta Mohd Izhar Ahmad (ADUN Larkin); dan seorang ADUN Bebas, Dr Chong Fat Full (ADUN Pemanis).

Jumaat lepas, Hasni, 61 tahun, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang ke-18 di hadapan Sultan Ibrahim di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene.