Sepuluh orang yang ada kontak dengan kes Zika tempatan pertama di Sabah dan disiasat Jabatan Kesihatan mendapati mereka negatif penyakit Zika, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah Dr Christina Rundi.

Katanya siasatan yang dijalankan ke atas 10 kontak berkenaan termasuk pengambilan sampel darah dan kencing untuk ujian Zika mendapati kesemua kontak itu tidak dijangkiti penyakit Zika.

Dr Christina juga berkata sejak pengesanan kes Zika pertama tempatan berkenaan pada 3 Sept lalu, pihaknya telah mengambil langkah kawalan dan pencegahan sekitar 400 meter radius dari rumah kes bagi mengelak penularan jangkitan ke kawasan lain.

"Terdapat 775 premis dalam kawasan 400 meter radius dari rumah kes. Sebanyak 725 premis telah dilawati namun hanya 280 rumah atau 37 peratus yang berjaya diperiksa sementara selebihnya tidak dapat diperiksa kerana tidak dibenarkan masuk oleh tuan rumah atau tiada penghuni," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya tindakan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes juga dilaksanakan dengan memeriksa 814 bekas dan daripada jumlah itu, 11 bekas didapati positif bagi larva Aedes.

Melalui promosi kesihatan mengenai Zika di lokaliti kes pertama berkenaan pula, pihaknya telah menganjurkan dua kali hebahan awam, 142 perbincangan kecil melibatkan 423 orang, memberi nasihat individu kepada 141 orang dan edar 141 risalah.

"Oleh kerana penyakit Zika dan Denggi dibawa oleh jenis nyamuk yang sama iaitu nyamuk Aedes, kawalan dan pencegahan bagi kedua-dua penyakit ini adalah dengan penghapusan nyamuk Aedes," katanya.

Menurut Dr Christina penyakit Denggi masih menjadi masalah kesihatan utama di Sabah dan sehingga 3 Sept lalu (2016), jumlah kes Denggi yang dilaporkan adalah 2,516 kes iaitu peningkatan sebanyak 685 kes atau 37 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Kawalan kedua-dua penyakit ini adalah tanggungjawab semua orang, agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan. Jabatan Kesihatan Negeri Sabah memohon kerjasama semua untuk mengawal penularan penyakit denggi dan Zika," katanya.

Menurutnya antara langkah yang boleh diambil termasuk melakukan aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan nyamuk Aedes, membersihkan kawasan persekitaran rumah atau premis bangunan daripada sampah sarap yang mana boleh menjadi tempat takungan air.

Katanya masyarakat perlu memberi kerjasama kepada petugas kesihatan dengan membenarkan mereka membuat pemeriksaan dengan tujuan penghapusan tempat pembiakan nyamuk Aedes serta membenarkan semburan kabus di dalam rumah.

"Dapatkan rawatan segera di hospital atau klinik kesihatan berdekatan jika terdapat tanda-tanda penyakit Zika dan telah melawat kawasan yang telah melaporkan penyakit Zika," katanya.