Tidak sampai empat minit, enam perompak bersenjatakan pistol dan tukul berjaya melarikan lebih lima dulang barang kemas yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta di sebuah pusat membeli belah di Taman Segar Cheras malam tadi.

Kejadian berlaku kira kira jam 8.30 malam tadi ketika ramai pengunjung sibuk membeli belah.

Insiden pantas itu turut mencetuskan panik kakitangan dan pengunjung berhampiran premis terbabit.


Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supritenden Ismadi Borhan memaklumkan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kesemua perompak terbabit memakai topi keledar menutup muka.

Ketika kejadian juga seramai lima pekerja termasuk pengawal keselamatan berada di premis itu.

“Tempat ‘standby’ perompak ini dengan tempat rompakan betul betul berdekatan di tengah-tengah kesibukan ini.

“Di sini orang ramai, jarak lebih kurang 20 meter sahaja. Maka perompak sempat melarikan diri. Memang ada kerjasama dari orang ramai yang cuba hendak hentikan rompakan. Ada yang baling tong sampah untuk menghalang, tetapi jarak terlalu dekat dan menyebab memudahkan mereka lari,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Asmadi berkata setakat ini pihak polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di dalam premis berkenaan bagi siasatan lanjut.

"Selain itu, pemeriksaan pasukan forensik turut menemui beberapa bahan bukti seperti puntung rokok yang boleh dikaitkan dalam kes ini.

"Menurut saksi, terdapat bunyi letupan ketika kejadian, bagaimanapun, siasatan awal mendapati tiada unsur senjata api digunakan dan bunyi berkenaan berkemungkinan berpunca daripada pukulan suspek memecahkan cermin pameran," katanya.

Beliau berkata gerakan memburu suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan.

Operasi Ops Tutup kini giat dijalankan bagi mengesan penjenayah terbabit.