Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor mengesahkan 10 nelayan yang dipercayai diculik oleh penjenayah yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Abu Sayyaf awal pagi Selasa bukan rakyat Malaysia.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, kesemua mangsa menaiki dua buah bot kira-kira jam 2.45 pagi Selasa.

“Kejadian pada pukul 2.45 pagi tadi dua buah bot yang dinaiki mangsa berada dalam kawasan perintah berkurung di perairan Sabah berhampiran Felda Sahabat kira-kira 13.2 batu nautika.

“Dalam dua bot itu 10 daripada 16 mangsa diculik. Enam mangsa dalam satu bot, empat lagi mangsa dari satu bot lain," kata beliau.

Mazlan berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kenderaan Polis Diraja Malaysia daripada MRCB George Kent Sendirian Berhad di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Selasa.

Susulan kejadian itu, kata Mazlan, satu laporan polis telah dibuat pagi tadi dan beradasarkan pemeriksaan awal, salah seorang daripada penumpang bot yang terselamat mempunyai dokumen imigresen.

Bagaimanapun, tambah Mazlan,polis sedang menyiasat mengapa bot berkenaan menggunakan laluan terbabit dibawah perintah berkurung.

“Bukan soalnya mengapa menangkap ikan kena ada lesen, tetapi soalnya kenapa berada di kawasan perintah berkurung. Kita ada polis berkawal tetapi kawasan laut itu agak besar,” tegas beliau.

Dalam masa sama, Mazlan berkata, sehingga kini, polis belum menerima sebarang panggilan telefon daripada kumpulan penculik terbabit.

BACA: Polis siasat dakwaan 10 nelayan diculik kumpulan Abu Sayyaf