Kira-kira 100 pelajar Malaysia yang menuntut di Jambi sudah bertolak ke Konsulat Malaysia di Pekanbaru bagi urusan evakuasi berikutan keadaan jerebu di kawasan berkenaan uang kini mencapai tahap berbahaya dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menjangkau 310 sejak pukul 5.00 petang Rabu.

Timbalan Yang Di-Pertua Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Cawangan Jambi, Muhammad Asyraf Robani berkata mereka dijangka tiba di Pekanbaru awal pagi Khamis.

"Sebelum bertolak, pelajar diberi taklimat terlebih dahulu daripada wakil Education Malaysia Indonesia (EM Indonesia) berhubung prosedur evakuasi ke Malaysia dan Jakarta.

"Sejurus tiba di Konsulat Malaysia di Pekanbaru, sebahagian pelajar akan berlepas pulang ke Malaysia dan selebihnya ke Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta untuk urusan visa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata keadaan jerebu itu menyebabkan hampir semua pelajar Malaysia di wilayah itu mengalami simptom sakit mata, sesak nafas, sakit kepala dan cirit birit.

Bernama difahamkan proses evakuasi menggunakan bas dari Jambi ke Pekanbaru mengambil masa sekitar 12 jam.

-- BERNAMA