Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

108 terkandas di Nunukan, Indonesia dibawa pulang

108 terkandas di Nunukan, Indonesia dibawa pulang
Kumpulan individu berkenaan dihantar ke Institut Pendidikan Guru di Kampus Balung di Tawau untuk dikuarantin selama 14 hari. - Astro AWANI
TAWAU: Seramai 108 lagi individu yang terkandas di Nunukan, Indonesia, tiba di jeti Terminal Feri Tawau melalui kebenaran khas Kerajaan Negeri Sabah, menaiki Feri KM Francis Express pada Khamis.

Kesemua individu yang tiba pada jam 11.11 pagi itu terdiri dari 46 lelaki dan 62 perempuan, termasuk 18 kanak-kanak - berumur antara 2 tahun dan 70 tahun.
Mereka semua dikatakan tidak sempat menaiki feri dari Nunukan dalam fasa ketiga membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas, setelah perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu.

Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Katanya, 86 daripada mereka adalah rakyat tempatan manakala 22 lagi warga Indonesia pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (Suami/Isteri) dan Pas Tanggungan iaitu suami, isteri atau ibu bapa kepada pasangan warga Malaysia.

Kumpulan individu berkenaan terus dihantar ke Institut Pendidikan Guru (IPG) di Kampus Balung di sini untuk dikuarantin selama 14 hari, bagi memastikan mereka benar-benar bebas dari virus COVID-19 sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing masing.

Operasi ketibaan kumpulan tersebut melibatkan semua agensi petugas barisan hadapan termasuk Jabatan Imigresen, polis, pasukan perubatan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan RELA.

Untuk rekod, jumlah kesemua rakyat Malaysia dan pasangannya yang terkandas di Nunukan dan dibawa masuk melalui kebenaran khas negeri Sabah ialah 236 orang, melalui empat fasa sejak 21 Mac lalu.

Tiga operasi penghantaran pulang terdahulu melibatkan 128 rakyat Malaysia dan pasangan warga Indonesia yang terkandas di Nunukan.