Kerajaan sekali lagi menegaskan bahawa pihaknya tidak akan bertoleransi dengan mana-mana individu yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PK) yang memasuki fasa ketiga.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, individu yang ingkar arahan PKP tidak lagi diberikan notis kompaun, sebaliknya terus dihadapkan ke mahkamah.

Setakat Rabu, jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP adalah sebanyak 11,017 individu.

"Sebanyak 56,052 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dengan sebanyak 6,364 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menangkap 1,315 individu kerana ingkar PKP, dengan 1,226 individu direman dan 89 individu dijamin polis.

"Sebanyak 312 individu telah dituduh di mahkamah atas kesalahan mengingkari PKP," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Khamis.

Beliau dalam pada itu memaklumkan PDRM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan 813 sekatan jalan raya di seluruh negara, dengan membabitkan pemeriksaan terhadap 558,548 kenderaan.

Ujarnya, peningkatan tersebut menunjukkan bahawa masih terdapat banyak kenderaan yang meneruskan perjalanan ketika pelaksanaan PKP.

"Saya ingin memberi peringatan bahawa undang-undang tentang PKP ini masih lagi berjalan seperti biasa (kerana) PKP masih lagi belum ditarik balik.

"PKP berterusan lagi untuk fasa ketiga dan sesiapa yang ingkar akan dikenakan tindakan di bawah PKP. Jadi, kehadiran kenderaan yang banyak ini seolah-olah lupa bahawa PKP masih lagi dilaksnakan dan mereka tertakluk kepada undang-undang PKP," katanya.

Tambah Ismail Sabri, PDRM turut mendapati banyak kenderaan di jalan raya terutamanya kenderaan perkhidmatan bukan keperluan yang mengambil kesempatan memulakan operasi perniagaan walaupun belum mendapat kelulusan beroperasi.

"Ingin ditegaskan, semua industri perlu memohon kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan tidak dibenarkan beroperasi tanpa kelulusan MITI.

"Bagaimanapun, industri dan sektor seperti bekalan makanan dan perubatan, yang telah diberi kebenaran beroperasi semasa PKP fasa pertama dan PKP fasa kedua dibenarkan beroperasi seperti biasa," ujarnya.