Seramai 11 individu ditahan dalam Op Alkohol dan Samseng Jalanan yang diadakan selama dua hari di seluruh daerah di Selangor.

Dalam operasi yang dilancarkan serentak di 16 daerah di Selangor, sebanyak 3,463 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, kata Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shariat.

“Hasil pemantauan mendapati kegiatan samseng jalanan dilihat semakin berkurang. Ia dipercayai hasil kekerapan operasi yang dilakukan pihak polis akhir-akhir ini.

“Pada hari pertama, sejumlah 2,600 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

"Daripada jumlah itu, sembilan tangkapan dilakukan termasuk lapan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dan satu tangkapan bersabit kes samseng jalanan.

“Manakala malam tadi, lebih 863 saman dikeluarkan dengan lima buah motosikal disita,” kata Azman.

Katanya lagi, di Ampang sahaja, empat lokasi sekatan jalan raya dilakukan dengan 141 saman dikeluarkan.

Dua buah motosikal disita dan tiga individu ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, tambah Azman.

Sementara itu, katanya, saman turut dikeluarkan bagi kesalahan tidak memiliki lesen memandu dan nombor plat yang tidak mengikut spesifikasi.

“Saya lihat dalam beberapa minggu kebelakangan ini ada sedikit penurunan aktiviti selepas kita buat operasi besar besaran.

"Saya menjangkakan, kalau kita tidak pantau, mereka akan meneruskan aktiviti.

“Pasukan kita akan sentiasa memantau di lokasi yang kebiasaannya menjadi tempat mereka beraktiviti,” jelasnya.

Jelasnya, pihaknya memberi jaminan akan terus memburu samseng jalanan dan individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol bagi memastikan tiada lagi kes seumpama itu di Selangor.

Operasi berakhir pada jam 1 pagi.