Polis menahan 11 individu yang melakukan aktiviti bersenam dan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Jalan Mont Kiara dan Jalan Desa Kiara, ibu negara pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, pihaknya telah menjalankan rondaan dan pemeriksaan PKP bermula 7.30 pagi hingga 9.30 pagi di dua kawasan tersebut.

"Polis menahan 11 lelaki terdiri daripada dua warga tempatan, empat warga Jepun, dua warga Korea Selatan dan satu masing-masing dari United Kingdom, Amerika Syarikat dan India.

"Kesemua mereka ditahan semasa sedang bersenam (jogging) dan didapati telah mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, mereka yang ditahan juga tidak mengendahkan amaran dan nasihat yang diberikan oleh pihak polis serta memberikan alasan yang tidak munasabah.

"Kes disiasat di bawah Peraturan 7(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh membawa hukuman denda RM1000.00 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan

"Akta yang digunakan juga Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000.00 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan," jelasnya.

Kesemua individu tersebut telah dirakam percakapan mereka mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah dan telah diberi jamin polis setelah selesai proses siasatan, ujarnya.

"Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya.

"Polis Kuala Lumpur mengharapkan kerjasama semua pihak supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan demi memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19 ini," jelasnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis berhampiran.