Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 11 Mei ini sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Kecil P.186 Sandakan, kata Pengerusinya, Azhar Harun.

Selain itu, beliau berkata, tarikh-tarikh penting yang lain ialah 27 April sebagai tarikh penamaan calon dan 7 Mei sebagai tarikh mengundi awal.

“SPR telah terima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Arif Md Yusof pada 29 Mac berhubung kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P.186 Sandakan, berikutan kemaitan penyandangnya mendiang Datuk Wong Tien Fatt @ Wong Nyuk Foh pada 28 Mac 2019.

“Sehubungan itu, SPR telah mengadakan Mesyuarat Khas hari ini dan tetapkan satu PRK perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan iaitu 29 Mac 2019 bagi mengisi kekosongan di kerusi Parlimen berkenaan,” katanya kepada sidang media di Menara SPR, di sini hari ini.

Kerusi Parlimen itu kosong selepas kematian penyandangnya Wong, akibat serangan jantung, pada 28 Mac lepas.

Bagi menjalankan proses PRK itu, Azhar berkata, SPR telah melantik Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Mohd Hamsan Awang Supian sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya, dibantu lima orang Penolong Pegawai Pengurus.

Selain itu, katanya lagi, SPR akan menggunakan Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua, Sandakan sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.

“Seramai 770 orang petugas dilantik bagi mengendalikan proses PRK Sandakan, manakala 21 buah Pusat Mengundi mengandungi 92 saluran akan digunakan bagi kemudahan mengundi.

“PRK ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM3.1 juta,” katanya lagi.