Sebanyak 11 sekolah di Kelantan masih ditutup esok akibat banjir, menurut kenyataan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan.

Menurutnya, enam daripada sekolah itu terletak di daerah Pasir Mas dan lima sekolah di daerah Tumpat.

Sekolah yang ditutup di daerah Pasir Mas ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 2, SK Gual Tinggi, SK Gual To' Deh, SK Bakong, SK Gelang Mas dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Diniah Bonggor.

Lima sekolah yang ditutup di daerah Tumpat ialah SK Simpangan, SK Bendang Pak Yong, Sekolah Menengah Agama (SMA) Nurul Huda Kajang Sebidang, SK Teluk Jering dan SK Padang Mandol.

Penutupan sekolah terbabit berikutan beberapa faktor iaitu laluan ke sekolah masih ditenggelami banjir, sekolah masih dinaiki air dan sekolah dijadikan pusat pemindahan banjir, menurutnya. -- Bernama