Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 113 kes COVID-19 melalui aktiviti pemantauan klinikal sehingga 2 Julai lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, aktiviti pemantauan berkenaan membolehkan kerajaan mengambil tindakan awal dalam membendung penularan virus berkenaan dalam negara.

"Pertama, Persampelan pesakit Influenza Like Illness (ILI): 15 kes positif COVID-19 daripada 2,507 sampel (iaitu kadar positif adalah 0.6 peratus) .

"Kedua, Persampelan pesakit Severe Acute Respiratory Infection (SARI): 77 kes positif COVID-19 daripada 19,422 sampel (iaitu kadar positif adalah 0.4 peratus)

"Ketiga, Persampelan pra pembedahan: 21 kes positif COVID-19 daripada 51,870 sampel (iaitu kadar positif adalah 0.04 peratus)," katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.

Sistem pemantuan klinikal bagi COVID-19 di Malaysia bermula sejak 12 Februari 2020.

Ia dijalankan di Klinik Kesihatan dan hospital KKM yang dikenali sebagai pemantauan klinikal.

Pendekatan pengesanan kes COVID-19 melalui aktiviti pemantauan dapat mengambil kira penjimatan kos dan turut dilaksanakan di beberapa negara lain yang berjaya memerangi pandemik COVID-19 tanpa ujian COVID-19 secara besar-besaran.

"Dengan pendekatan tertumpu ini, sumber yang digunakan bagi menjalankan ujian dan aktiviti saringan ini dapat dipertimbangkan dengan cermat, termasuk juga bagi mengelak pembaziran. Ini memandangkan usaha memerangi COVID-19 ini masih panjang," ujarnya.