Seramai 113 rakyat Malaysia dari Oman selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, semua mereka yang menaiki penerbangan sewaan khas Malindo Air tiba pada jam 12.55 tengah hari.

Katanya, proses kepulangan mereka dibantu oleh Kedutaan Besar Malaysia di Muscat, Oman dengan kos tiket penerbangan ditanggung sendiri.

"Kepulangan kumpulan kedua ini termasuk 54 orang rakyat Malaysia yang menyuarakan masalah mereka menerusi media sosial kerana telah kehilangan punca pendapatan selama hampir empat bulan terkandas," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Kementerian Luar juga merakamkan penghargaan kepada kerajaan Oman kerana membantu melancarkan usaha membawa pulang rakyat Malaysia ke tanah air.

"Perwakilan Malaysia di luar negara akan meneruskan pemantauan situasi semasa serta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam usaha memberi bantuan sewajarnya
kepada rakyat Malaysia yang terkesan dengan pandemik COVID-19," katanya lagi.